suria

TPP Buka Akses Kepada Pasaran Baharu

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan membuka akses pasaran berkeutamaan buat Malaysia ke empat pasaran perdagangan bebas (FTA) yang baharu iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pasaran negara-negara tersebut akan terbuka kepada Malaysia, dan kebanyakan duti import akan dimansuhkan sebaik sahaja TPPA berkuat kuasa.

"Dalam beberapa kes, duti akan dimansuhkan sebaik sahaja TPPA terlaksana, paling awal pada 2018.

"Menerusi TPPA sebagai contoh, duti import bagi hampir 73 peratus daripada eksport barangan tekstil ke Amerika Syarikat akan dimansuhkan serta-merta. Tanpa TPPA, hanya 11 peratus daripada eksport tekstil ke Amerika Syarikat yang menikmati duti import sifar," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mustapa berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai-BN) mengenai bagaimana Malaysia mampu memanfaatkan Komuniti Ekonomi Asean dan TPPA.

"Kita harap TPPA akan rangsang minat pelabur untuk melabur ke negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Johor dan Selangor. Ini antara negeri yang banyak bergantung kepada pelaburan asing," katanya.

Mustapa berkata analisis kos dan manfaat TPPA akan dibentangkan di Parlimen dalam tempoh tiga bulan lagi untuk membuat keputusan, sama ada negara mahu menyertai TPPA atau tidak.

TPPA terdiri daripada 12 negara dengan pasaran 800 juta penduduk dengan keluaran dalam negara kasar sebanyak US$27.5 trilion.

Beliau berkata secara keseluruhan, kerajaan berpuas hati terhadap hasil rundingan perjanjian perkongsian itu kerana kepentingan Malaysia telah diambil kira menerusi fleksibiliti yang diberikan kepada Malaysia termasuk Dasar Bumiputera.

Mustapa berkata Dasar Bumiputera dipertahankan dalam bab seperti perolehan kerajaan dan syarikat milik kerajaan melalui pelbagai mekanisme seperti tenpoh transisi dan pengecualian beberapa entiti.

Mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN, Mustapa berkata semua negara ASEAN telah menerima faedah daripada integrasi ekonomi yang semakin mantap.

"Hujung tahun ini, Perdana Menteri akan mengisytiharkan ASEAN sebagai satu komuniti," katanya.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Muhd Yusoff (Rantau Panjang-PAS) mengenai cabaran utama TPPA, Mustapa berkata teks perjanjian TPPA akan dihebahkan kepada umum dalam tempoh terdekat.

"Sekarang ini ada beberapa perkara masih belum selesai lagi. Walaupun perbincangan rundingan muktamad, namun ada beberapa perkara teknikal. Kami masih lagi berunding melalui e-mel," katanya.

TPP, Dewan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Lain