suria

Eksport Minyak Sawit Malaysia Ke AS Berpotensi Berganda Dalam Lima Tahun

LOS ANGELES: Eksport minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) berpotensi berganda dalam tempoh lima tahun lagi kerana negara itu terus mengimport minyak dan lemak sayuran bagi menampung permintaan tempatan meskipun menjadi pengeluar utama minyak sayuran.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah berkata eksport minyak sawit Malaysia ke AS meningkat 162 peratus daripada 477,899 tan metrik pada 2009 kepada 1.25 juta tan metrik tahun lepas.

Beliau berkata AS mengimport 4.3 juta tan metrik minyak dan lemak tahun lepas dengan minyak sawit menyumbang 28 peratus daripada jumlah itu.

"Ini jelas menunjukkan keyakinan pengguna di Amerika berkaitan dengan manfaat pemakanan minyak sawit," katanya kepada Bernama di luar Forum Minyak dan Lemak Global (GOFF) USA 2015, di sini, pada Khamis.

Uggah berkata Malaysia kini sedang bekerjasama rapat dengan institusi penyelidikan tempatan dan antarabangsa untuk menjalankan kajian saintifik tentang manfaat minyak sawit. 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ketika ini sedang bekerjasama dengan  Ohio State University Medical Centre, Anderson Cancer Centre, University of Texas dan Wayne State University.

Kajian-kajian ini menumpukan kepada penggunaan tokotrienol, vitamin E yang ditemui dalam minyak sawit, dalam pencegahan kanser dan strok serta mengubati penyakit hati dan buah pinggang, katanya.

Uggah melahirkan keyakinan dengan kajian-kajian ini serta usaha lain, isu yang dihadapi Malaysia pada tahun 1980-an apabila sesetengah pihak mempersoalkan manfaat pemakanan minyak sawit di tengah-tengah kempen memburukkan sawit, tidak akan berlaku lagi.

"Kita menempuh perjuangan yang panjang dan getir," katanya. 

Beliau berkata kerajaan mendapati bahawa situasi itu timbul disebabkan salah faham dalam kalangan pengguna dan kekurangan bukti saintifik daripada pakar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata menjelang 2020 semua pekebun kecil di Malaysia, yang membentuk 40 peratus daripada jumlah penanam sawit negara, akan mendapat perakuan daripada MSPO, skim pensijilan diterajui kerajaan.

Kerajaan menubuhkan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia, badan pentadbir bebas untuk menerajui MSPO dan memastikan kejayaan pelaksanaannya.

MSPO bertujuan memastikan pengeluaran minyak sawit dilakukan dengan cara lestari kerana penanaman sawit sentiasa disalah anggap berkait dengan pengurangan hutan hujan, kehilangan biodiversiti dan pelepasan gas rumah hijau, katanya. 

"Industri memberi perhatian kepada jangkaan alam sekitar dan menguruskan operasi dengan sewajarnya.

"Negara pengeluar dan pengguna yang bekerja bersama-sama boleh memastikan sistem pengeluaran dan ganjaran yang lestari serta saksama apabila melaksanakan keperluan kelestarian," katanya. 

Uggah berkata beliau percaya pengenalan MSPO dan insiatif perniagaan-kepada -perniagaan serta Persidangan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) suatu yang baik kepada industri. 

Beliau berkata kerajaan menyedari kesukaran dan kos tinggi bagi pekebun kecil untuk mendapat perakauan RSPO walaupun pasaran memerlukan produk mereka diperakui. 

Uggah mengetuai misi promosi minyak sawit ke AS selama dua hari bermula 14 Oktober. 

Delegasi beliau disertai wakil daripada kementerian, MPOB, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan sektor swasta yang bertujuan meningkatkan eksport minyak sawit ke AS dan mengeratkan hubungan perniagaan antara sektor swasta di Malaysia dan AS.

Forum GOFF itu dianjurkan bersama oleh MPOB dan MPOC. -- Bernama


minyak sawit, Amerika

Artikel Lain