suria

Ascott Peroleh Kontrak Pengurusan Somerset Arcadia Miri

KUALA LUMPUR: The Ascott Ltd yang berpangkalan di Singapura memperoleh kontrak pengurusan bagi kediaman berperkhidmatan 200 unit, Somerset Arcadia Miri, di Sarawak.

Ascott, unit milik penuh CapitaLand Ltd, mempelopori kediaman berperkhidmatan bertaraf antarabangsa pertama di Asia Pasifik dengan pembukaan The Ascott Singapore pada 1984.

"The Somerset Arcadia Miri di Sarawak, yang dijangka dibuka pada 2018, akan menjadi jenama kediaman berperkhidmatan antarabangsa pertama Miri," kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ascott berkata dengan kontrak pengurusan itu, ia akan mengukuhkan kedudukan penerajunya sebagai pemilik-pengendali kediaman berperkhidmatan antarabangsa terbesar di Malaysia dengan lebih 2,300 unit apartmen di 11 hartanah.

Pengurus Besar Negara Ascott bagi Malaysia, Philip Lim berkata hartanah pertama syarikat itu di Miri berkedudukan baik untuk mengambil peluang daripada peningkatan bilangan ekspatriat, pengunjung perniagaan dan pelancong.

"Kami telah berada di Malaysia lebih sedekad dan akan terus mencari peluang untuk mengembangkan rangkaian kami," kata Lim.

Ascott berkata ia akan membuka Somerset Medini Nusajaya tahun ini, Somerset Damansara Uptown Petaling Jaya pada 2016, Citadines Waterfront Kota Kinabalu pada 2018 dan Citadines Medini Nusajaya pada 2019.

Ketika ini syarikat itu menguruskan Ascott Kuala Lumpur, Ascott Sentral Kuala Lumpur, Somerset Ampang Kuala Lumpur, Citadines DPulze Cyberjaya, Somerset Puteri Harbour Nusajaya dan Citadines Uplands Kuching. 

Ascott, Miri

Artikel Lain