suria

Kilang Padi RM25 Juta Bakal Dibina Di Besut

KUALA NERUS: Sebuah kilang memproses padi bernilai RM25 juta yang berkeupayaan memproses antara lapan dan 10 tan padi atau lima dan enam tan beras sejam akan dibina di Besut.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Terengganu Abd Mubin Abd Razak berkata bagi tujuan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta.

"Sebanyak RM5 juta lagi keperluan untuk mendirikan kilang itu diperoleh daripada gabungan 15 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan LPP negeri.

"Besut dipilih sebagai lokasi untuk mendirikan kilang itu memandangkan daerah itu dan Setiu merupakan daerah yang banyak mengeluarkan padi sehingga 80 peratus bagi Terengganu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, Ahad.

Abd Mubin berkata pembinaan kilang di Kampung Baruh Masin Alor Akar itu akan dibuat dalam tiga peringkat dan peringkat pertama iaitu proses penyediaan tapak dengan menambak tanah sedang dilakukan sekarang.

Peringkat kedua iaitu membina bangunan akan dimulakan tahun depan dan kilang itu dijangka siap dan dapat beropersi pada tahun 2017 nanti, katanya. 

Katanya kilang itu akan dikendalikan oleh 100 peratus anggota PPK dan penanam padi di daerah Besut. 

Beliau berkata petani akan menjual padi secara borong kepada PPK manakala PPK akan menjual secara runcit kepada kilang ini. 

Menurutnya apabila siapnya Empangan Perda di Besut, petani di daerah itu mampu menanam padi dua kali setahun sebagaimana dilaksanakan di kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Utara (Ketara). -- Bernama


LPP, Besut, kilang padi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain