suria

Tidak Dapat Penuhi Komitmen Dividen, Lebih Banyak Penjimatan - Petronas

Wan Zulkiflee Wan Ariffin

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkata ia tidak dapat memenuhi komitmen dividen disebabkan harga minyak mentah rendah yang telah menjejaskan prestasi kewangan syarikat minyak nasional berkenaan.

"Saya tidak jangka aliran tunai daripada operasi tahun ini dapat memenuhi perbelanjaan modal dan komitmen dividen kami, ini bermakna kami akan tabah melaluinya dengan lebih banyak langkah penjimatan, dan akan mengeluarkan rizab tunai kami," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Jumaat.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2015, syarikat itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM14.61 bilion, turun 47 peratus berbanding RM28.06 bilion pada tempoh suku yang sama tahun lepas, umum beliau pada sidang media di sini.

Pendapatan turut merosot 28 peratus kepada RM61.30 bilion daripada RM85.36 bilion, disebabkan harga purata yang rendah bagi semua produk.

Wan Zulkiflee turut menggesa industri minyak dan gas di Malaysia untuk bekerjasama demi kebaikan bersama yang lebih besar dalam keadaan harga minyak rendah yang menyeluruh ini.

"Terdapat banyak peluang dalam pasaran untuk penyatuan, yang pada akhirnya membawa kepada peningkatan kecekapan kos dan daya saing dalam seluruh industri ini," katanya.-- Bernama


Artikel Lain