suria

Asean Boleh Jadi Ekonomi Keempat Terbesar Dunia Menjelang 2015 - Anifah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama Menteri Luar Asean termasuk Anifah (lima dari kiri) selepas merasmikan sidang ke-48 yang berlangsung Selasa.

KUALA LUMPUR: Asean boleh menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2050 dan idea itu bukan khayalan semata-mata, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

"Ini berdasarkan ekstrapolasi pada angka sedia ada. Inilah masa depan yang kita boleh mula corakkan untuk anak-anak kita, di sini dan sekarang. Jadi saya kata - ya. Kita boleh bersikap positif. Kita sepatutnya bersikap positif," katanya.

Berucap pada perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, beliau berkata Komuniti Asean akan menjadikan perkumpulan ini lebih kuat dan terjamin dari segi ekonomi.

"Ini akan membawa kepada keadaan lebih terbuka kepada perdagangan dan pelaburan luar dan tidak mudah terjejas oleh aliran turun naik kewangan global," katanya.

Menteri itu berkata pelaburan di rantau ini mencecah AS$136.2 bilion (RM517.56 bilion) tahun lepas, mewakili 15.7 peratus pertumbuhan tahun ke tahun.

"Jumlah dagangan pada tahun lepas berjumlah AS$2.53 trilion (RM9.61 trilion) - dan malah kami menjangkakan kadar pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 4.9 peratus pada tahun ini," kata Anifah.

Beliau berkata rangka tindakan Komuniti Ekonomi Asean telah membantu menggalakkan aliran bebas barangan di antara negara-negara anggota dan dagangan mudah.

"Kami sedang berusaha mewujudkan komuniti yang mempunyai peluang - iaitu peningkatan perdagangan dan pertumbuhan peribadi berlaku secara seiringan. Dan semua ini berlaku, malah sebelum Komuniti (Asean) direalisasikan sepenuhnya," katanya.

Anifah mempengerusikan mesyuarat sehari yang dihadiri rakan sejawatnya dari  Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

-- Bernama
Asean, Anifah Aman

Artikel Lain