suria

Hotel Kondominium The Pines Dilancarkan

MELAKA: Pemaju hartanah, PTS Properties Sdn Bhd melancarkan hotel kondominium empat bintang modennya di Melaka yang dinamakan The Pines Melaka, baru-baru ini.

Hotel kondominium 28 tingkat itu yang terletak strategik di Jalan Tun Sri Lanang dan berdekatan plaza tol Air Keroh, pintu masuk ke pusat bandar Melaka, dijangka dapat menampung keperluan pelancong tempatan dan antarabangsa, kebanyakannya dari Singapura, Taiwan dan China.

"Syarikat gembira untuk menampilkan The Pines Melaka yang akan melengkapkan industri hospitaliti bandar raya ini dengan gabungan hiasan dan reka bentuk dinamik.

"Kami berusaha keras untuk menyuntik sedikit elemen tempatan dalam palet dengan karya seni daripada artis tempatan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Boo Kuang Loon dalam satu kenyataan.

The Pines Melaka, yang memiliki 390 bilik dengan saiz besar, bakal menjadi tarikan kepada pelancong liburan dan perniagaan kerana ia berdekatan dengan pelbagai pejabat korporat, daya tarikan pelancongan dan lokasi warisan bersejarah.

Projek pegangan kekal dengan nilai pembangunan kasar RM120.9 juta, telah habis dijual kepada pembeli tempatan dan juga asing.

Pada masa hadapan, syarikat itu akan menumpukan untuk membangunkan pembangunan bercampur bersepadu, pelancongan, budaya, hotel, komersil dan projek kediaman di Melaka dan Lembah Klang.

The Pines, Kodominium

Artikel Lain