suria

Naik Taraf Pelabuhan Tempatan Bagi Hadapi Kapal Saiz Ultra

KUALA LUMPUR: Pengendali pelabuhan tempatan bakal berdepan dengan cabaran menyediakan keperluan bagi kapal-kapal bersaiz ultra dalam jangka masa dua tahun akan datang jika kapasiti dan infrastruktur pelabuhan tempatan tidak dipertingkatkan.

Pengarah Urusan Kumpulan NCB Holdings Bhd Abi Sofian Abdul Hamid berkata cabaran ini didorong oleh peningkatan tempahan kapal bersaiz ultra oleh syarikat perkapalan, yang dijangka menerima tempahan kapal mereka dalam tempoh tersebut.

Menurut beliau, pada masa ini, trend dalam industri perkapalan serta kejayaan sesebuah pelabuhan masih dipengaruhi oleh syarikat perkapalan besar dunia.

Sebagai contoh, syarikat seperti Maersk-Link, Mediterranean Shipping Company (MSC), CMA-CGM, United Arab Shipping Co (UASC) dan China Shipping Container Lines, menguasai pelayaran jarak jauh seperti Asia-Eropah.

Melalui pakatan seperti Ocean 3 dan 2M, kedudukan syarikat perkapalan antarabangsa yang sudah mempunyai kapal bersaiz ultra juga dijangka stabil sehinggalah syarikat perkapalan lain menerima kapal mereka dalam tempoh yang sama, Abi Sofian memberitahu Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Pakatan Ocean 3 terdiri daripada CMA-CGM, China Shipping dan UASC, manakala pakatan 2M adalah antara Maersk dan MSC.

Syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, Orient Overseas Container Line dan Syarikat Jepun, Mitsui OSK Lines turut menyasarkan pemilikan kapal bersaiz 20,000 unit kontena (TEUs) bagi bersaing untuk laluan Asia- Eropah.

"Perkembangan ini memberi petunjuk kepada pengendali pelabuhan untuk bersedia dari segi keupayaan dan fasiliti jika ingin terus bersaing mengendalikan kapal-kapal sebegini dalam tempoh tersebut," katanya.

Selain itu, beliau turut berkata kedua-dua industri berdepan dengan cabaran ketidakseimbangan permintaan dan pembekalan slot/kapasiti pelayaran dan mengakibatkan cabaran kepada kadar fret yang mempengaruhi industri perkapalan tempatan. 

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa pihak berkepentingan perlu mempunyai perancangan jangka panjang untuk menangani cabaran ini pada masa hadapan dalam memastikan industri perkapalan dan pelabuhan terus kekal berdaya saing.

"Pelabuhan Klang umpamanya perlu memperkasa kesediaan untuk memastikan aliran pergerakan kontena tidak keluar melalui kapal bersaiz ultra ke pelabuhan lain, kerana tidak bersedia apabila tiba masanya nanti," katanya.

Setakat ini, kendalian terkumpul Malaysia berjumlah 20 juta TEUs dengan  separuh daripadanya beroperasi di Pelabuhan Klang dan selebihnya dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Pulau Pinang, Pasir Gudang, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Bintulu, Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Senari.

Kedudukan Pelabuhan Klang yang strategik memberikan ia peluang yang besar dalam meneroka perdagangan maritim memandangkan pelabuhan lain, seperti di selatan Thailand dan Sumatera, tidak dapat memenuhi permintaan.

"Jakarta dan Singapura adalah terlalu jauh dan akan memakan kos yang banyak," katanya, sambil berkata, semua sumber perlu diperuntukkan untuk memacu Pelabuhan Klang menjadi 10 pelabuhan tersibuk di dunia dan pada masa sama bersaing dengan Singapura, yang sedang membangunkan terminal mega Tuas dengan kapasiti 65 juta TEUs pada 2026.

Menyentuh mengenai penambahbaikan bagi industri perkapalan dan pelabuhan tempatan, Abi Sofian menjelaskan bahawa ruang atau kekosongan yang ditinggalkan oleh MISC masih belum dapat diisi sepenuhnya oleh syarikat-syarikat perkapalan tempatan yang ada.

"Perlu diingatkan bahawa industri perkapalan bukan sahaja terhad kepada pelayaran membawa muatan malah turut menyediakan peluang untuk warga tempatan berkecimpung dalam pelbagai kemahiran industri ini," katanya.

Oleh itu, langkah yang perlu dititik beratkan termasuk produktiviti dan  kecekapan semasa mengendalikan kontena di pelabuhan dan aspek persediaan di atas dek yang boleh dipertingkatkan supaya operasi pelabuhan dapat ditambah baik.-- Bernama


Artikel Lain