suria

China Optimis Import Dari Malaysia Meningkat

BEIJING: China optimis eksport Malaysia ke negara itu akan naik secara berperingkat, menurut jurucakap Pihak Pentadbir Kastam (GAC) China, Huang Songping.

Beliau berkata pada separuh pertama tahun ini, perdagangan antara Malaysia dan China mencecah 299.7 bilion yuan (US$48.9 bilion), naik 1.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Eksport ke Malaysia berkembang sebanyak 7.1 peratus tahun ke tahun pada enam bulan pertama tahun ini kepada 140.1 bilion yuan (US$22.9 bilion), manakala  import dari Malaysia jatuh 2.8 peratus tahun ke tahun kepada 160 bilion yuan (US$26 bilion), dengan lebihan dagangan sebanyak 19 bilion yuan (US$3.1 bilion)," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Huang ditanya sama ada ekonomi kedua terbesar dunia itu, yang juga pasaran eksport kedua terbesar Malaysia, akan meningkatkan importnya dari Malaysia berikutan penyusutan ringgit baru-baru ini.

Beliau berkata Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar China dalam ASEAN.

"Susulan perkembangan perdagangan antara kedua-dua negara, saya mempunyai jangkaan positif bahawa eksport dari Malaysia ke China akan naik secara berperingkat," katanya.

Data yang dikeluarkan oleh GAC hari ini menunjukkan eksport China pada Jun meningkat 2.8 peratus tahun ke tahun kepada US$192 bilion, manakala import susut  6.1 peratus kepada US$145 bilion, dengan lebihan dagangan sebanyak US$46.5 bilion.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, eksport China naik satu peratus tahun ke tahun, manakala import merosot 15.5 peratus tahun ke tahun, dengan lebihan dagangan sebanyak US$263 bilion, katanya.

Dalam tempoh sama, perdagangan antara China dan Vietnam, Filipina, Singapura dan Thailand, masing-masing meningkat 16.6 peratus (US$42.3 bilion), 6.6 peratus (US$21.1 bilion), enam peratus (US$39 bilion) dan 4.5 peratus (US$35 bilion) tahun ke tahun, manakala perdagangan dengan Indonesia jatuh 17.7 peratus (US$27 bilion) berbanding tahun sebelumnya.

Pada separuh pertama tahun ini, perdagangan dengan Amerika Syarikat dan ASEAN, masing-masing melonjak empat peratus dan 1.6 peratus tahun ke tahun, manakala perdagangan dengan Kesatuan Eropah dan Jepun, masing-masing susut 6.7 peratus dan 10.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kerajaan China menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi pada sekitar tujuh peratus tahun ini, turun berbanding 7.5 peratus pada 2014.

China, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain