suria

Pengeksport Malaysia Disaran Manfaatkan Dasar Made In China 2025

KUALA LUMPUR: Pengeksport Malaysia disaran memanfaatkan Made in China 2025, satu dasar untuk mengeksport lebih banyak produk bagi pembuatan di negara berkenaan.

Dasar itu bermatlamat antara lain, membawa China sebagai kuasa pembuatan dan daripada menjadi pembuat bagi kuantiti kepada kualiti.

Dalam membuat galakan itu, Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di China, Kua Kiat Chye berkata, pengeksport Malaysia sewajarnya mengambil peluang dalam sektor berkenaan dan merangsang eksport komponen dan bahan berkaitan mereka.

Beliau berkata mengikut pelan itu, sembilan tugas dikenalpasti sebagai keutamaan, iaitu, meningkatkan inovasi pembuatan, menyepadukan teknologi maklumat dan industri, mengukuhkan asas industri dan memartabatkan jenama China.

"Selain itu adalah menguatkuasakan pembuatan lestari, menggalakkan penemuan baharu dalam 10 sektor utama, memajukan penyusunan semula sektor pembuatan, menggalakkan pembuatan berasaskan perkhidmatan dan pembuatan berkaitan industri perkhidmatan, dan mengantarabangsakan pembuatan," katanya dalam satu kenyataan.

10 sektor utama tersebut adalah teknologi maklumat baharu, alat kawalan berangka dan robotik, kelengkapan aeroangkasa, kelengkapan kejuruteraan samudera dan kapal berteknologi tinggi, kelengkapan landasan kereta api, kenderaan jimat tenaga dan tenaga baharu, kelengkapan tenaga, bahan baharu, ubat-ubatan biologikal dan peralatan perubatan serta jentera pertanian.

Satu daripada halangan utama yang dihadapi industri adalah, pembuat mikrocip canggih, kata Kiat Chye.-- Bernama

Artikel Lain