suria

MUNICH: Lapan syarikat logistik Malaysia mendapat perhatian di Pameran Perdagangan Pengangkutan/Logistik 2015 yang berlangsung selama empat hari di sini, acara paling penting dan terbesar di dunia bagi industri logistik global.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan penyertaan Malaysia ke pameran tersebut yang menampilkan kesemua segmen daripada seluruh rantaian bekalan.

Usana Meriah Sdn Bhd, syarikat yang berpangkalan di Kota Kinabalu dan menyediakan perkhidmatan kepada kapal-kapal yang keluar dan masuk, agak gembira dengan sambutan yang diterima pada pameran itu.

"Sebahagian besar daripada kargo yang dikendalikan oleh kami ditetapkan ke atau dari China ke Malaysia dan lokasi berhampiran yang lain. Pandangan peribadi saya ialah China dan India merupakan dua buah negara yang menjadi tumpuan pada ketika ini.

"Beberapa pengeluar Jerman mendekati kami untuk kerjasama bagi mempromosikan produk mereka di Malaysia," kata Pengurus Pembangunan Perniagaan Kelvin Lee.

Chai Siew Ping, Pengarah Urusan SP ECO-LINK Sdn Bhd di Georgetown, Pulau Pinang, berkata syarikat beliau mempunyai pengalaman luas dalam pengangkutan kontena ke Komanwel Negara-negara Merdeka (CIS) yang dahulunya sebahagian daripada empayar Soviet.

"Kami mengendalikan barangan am dan turut berurusan dengan negara lain, selain negara-negara CIS.

"Perniagaan kami berkembang secara berperingkat. Kami bukan hanya mengunjungi pelanggan kami di rantau CIS tetapi mereka juga turut melawat kami di Malaysia," kata Chai, sambil menambah syarikat beliau menyertai pameran Munich itu untuk mewujudkan hubungan perniagaan baharu.

"Saya mempunyai kenalan dari negara-negara seperti Rusia dan Jerman. Rusia merupakan pusat transit utama bagi penghantaran ke pelabuhan CIS.

"Ini merupakan penyertaan pertama saya (di sini di Munich) dan saya berpuas hati dengan sambutan di pameran ini. Saya ingin kembali ke pameran ini, yang diadakan setiap dua tahun," katanya.

Bagi KLIA Premier Holdings Sdn Bhd, yang khusus dalam pengurusan projek kereta api dan lapangan terbang, syarikat itu melaksanakan kajian daya maju bagi lapangan terbang Kulim yang akan dibangunkan sebagai hab kargo. Ia juga akan mempunyai operasi penumpang.

"Kami sedang mencari pemaju hartanah. Kami menerima kunjungan dari Singapura, Belanda, China, India dan Iran," kata Pengurusnya, Nadirah Hazwani Najib.

Sementara itu, Gerhard Gerrityen, Timbalan Pengarah Urusan agensi penganjur, Messe Munchen, menyatakan kegembiraan beliau atas kehadiran peserta pameran dari  Malaysia.

"Semoga mereka berjaya di pameran ini dan berharap lebih banyak syarikat logistik yang akan menyertai kami pada masa akan datang berikutan pameran ini merupakan acara paling penting untuk perdagangan," katanya.

Gerriten berkata rantau ASEAN, termasuk Malaysia, adalah sebuah rantau yang menarik.

"Anda dapat melihat jumlah penyertaan yang amat besar daripada peserta logistik luar di sini, sebahagian besar daripada peserta pameran itu adalah dari Asia.

"Berdasarkan penilaian kami, kira-kira 48 peratus daripada peserta pameran di sini adalah dari luar. Apa yang kami perhatikan di sini ialah bukan hanya bilangan peserta pameran dan pengunjung meningkat dengan ketara, tetapi juga peningkatan dari segi kualiti peserta dan mereka yang mengunjungi pameran ini," kata Gerrityen.

Messe Munich turut menganjurkan pameran itu dalam versi yang lebih kecil di Shanghai (China) dan Istanbul (Turki).

Munich, Sepanyol

Artikel Lain