suria

Firefly Lancar Perkhidmatan Baharu Untuk Penumpang Di Subang

Timbalan Presiden Kanan Sky Park, Francis Anthony (kiri), Ketua Pegawai Operasi Nasim Sdn Bhd Datuk Samson Anand George berjabat tangan dengan Ignatius Ong selepas pelancaran Firefly-Peugeot Lounge di skypark Subang, Khamis.

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tempatan, Firefly melancarkan kemudahan terbaharunya 'Peugeot Lounge' iaitu ruang istirahat bagi penumpangnya menikmati keselesaan serta perkhidmatan disediakan di Terminal Sky Park Lapangan Terbang Subang, dekat sini.

Pada harga RM25 menerusi tempahan dalam talian, perkhidmatan yang menyajikan makanan ringan dan kemudahan WiFi, adalah sebahagian inovasi kemudahan disediakan Firefly berbanding syarikat penerbangan lain di Sky Park.

Perkhidmatan itu juga adalah kolaborasi dengan syarikat pengedar kenderaan Peugeot, Nasim Sdn Bhd. 

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong berkata syarikat itu akan terus meneroka cara meningkatkan nilai tambah dan perkhidmatan ruang istirahat Peugeot adalah antara contohnya.

Selain makanan ringan dan WiFi, ruang itu turut menyediakan kemudahan internet, saluran hiburan televisyen Astro, paparan maklumat penerbangan, akhbar dan majalah, sebuah bilik mesyuarat serta bilik VIP.

Menurutnya, penumpang Firefly boleh menempah kemudahan itu di laman web syarikat itu kira-kira dua jam sebelum penerbangan mereka dan menggunakan ruang itu tiga jam sebelum waktu berlepas. |
|
Ruang 'Peugeot Lounge' itu bagaimanapun, hanya untuk penerbangan yang berlepas dan tiba di Terminal Skypark Subang itu sahaja.

Firefly

Artikel Lain