suria

Pemandu: NKEA Perkhidmatan Perniagaan Bakal Realisasi Sasaran PNK Menjelang 2020

KUALA LUMPUR: Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Negara (NKEA) dalam perkhidmatan perniagaan berada tepat pada landasan untuk merealisasikan sasaran pendapatan negara kasar (PNK) berjumlah RM78.7 bilion menjelang 2020, berpandukan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 12 peratus.

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dalam Laporan Tahunan  Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2014 yang dikeluarkan hari ini, berkata NKEA perkhidmatan perniagaan terus kekal sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia pada 2014, sekali gus menjadikannya antara bidang yang paling cepat membangun dalam ETP.

"Pada 2014, sektor perkhidmatan perniagaan terus berkembang pada trajektori pertumbuhan yang kukuh, didorong oleh perkembangan penggiat utama industri yang aktif meluaskan perniagaan mereka.

"Ia mencatat pertumbuhan pada kadar 9.9 peratus tahun lepas serta sumbangan pendapatan berjumlah RM39.9 bilion, bersamaan dengan 3.9 peratus PNK," kata Pemandu.

Antara sorotan penting pada 2014 termasuk pelancaran Dasar Teknologi Hijau Negara yang bertujuan untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat dalam sektor teknologi hijau yang telah menarik pelaburan mencecah RM2 bilion pada 2014.

Malaysia semakin menempa nama sebagai hab perkhidmatan perniagaan apabila Malaysian Data Centre Alliance memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama dengan Majlis Pusat Data Jepun, yang bakal menyaksikan perkongsian amalan terbaik sesama mereka, di samping membina jalinan kerjasama untuk program-program promosi.

Selain itu, enam pusat data di Malaysia berjaya memperoleh pentauliahan sijil yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang pengurusan tenaga, keselamatan data dan pengurusan perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, Hab Penyumberan Luar Teknologi Maklumat Automotif Antarabangsa milik Goldbury, turut dilancarkan, dengan menyasarkan PNK sebanyak RM113 juta.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem mengulas dalam laporan tersebut bahawa cabaran terbesar yang kita hadapi ialah persaingan sengit daripada khalayak jiran serantau kita.

"Dengan wujudnya Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang bakal direalisasikan penubuhannya pada 2015, sudah pasti saingan dalam kalangan negara serantau semakin sengit.

"Oleh itu syarikat di Malaysia wajar menitikberatkan usaha yang berterusan untuk beranjak ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi sehingga berupaya menawarkan produk serta perkhidmatan yang bukan sahaja inovatif malah yang tiada tolok bandingnya di pasaran," katanya.-- Bernama


NKEA, Pemandu, ETP

Artikel Lain