suria

YOU Wings AOR Perkenal Penerbangan Alor Setar-Medan

Tunku Johanez (kiri) menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian persefahaman antara Pengarah Urusan Bumi Aviation Sdn Bhd, Abdul Wahab Mat Isa (dua,kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif YOU Wings, Daniel Lee (dua,kanan) pada majlis taklimat media sempena pelancaran penerbangan Alor Setar dan Medan di sini, Selasa. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

ALOR SETAR: Syarikat penerbangan, YOU Wings AOR Sdn Bhd hari ini memperkenalkan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini ke Medan, Indonesia mulai 27 Ogos ini.

Pengerusi Eksekutifnya Datuk Tunku Johanez Tunku Annuar berkata penerbangan duakali seminggu dari Alor Setarke Medan itu akan menggunakan pesawat Boeing 737-500W dan Boeing 737-400.

"Penerbangan dua kali seminggu pada setiap Khamis dan Ahad itu menawarkan tambang dua hala bermula dari RM504, selain menyediakan perkhidmatan penuh termasuk perkhidmatan percuma bagasi.

"Pesawat Boeing 737-500W mampu memuatkan seramai 120 penumpang manakala Boeing 737-400, seramai 168 penumpang," katanya selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara YOU Wings Sdn Bhd dan Bumi Aviation Sdn Bhd  di sini, Selasa.

Beliau berkata buat permulaan, syarikat penerbangan itu menyasarkan menjual 80 peratus daripada jualan tiket bagi laluan Alor Setar-Medan, bergantung kepada  kapasiti penumpang pesawat yang digunakan.

Katanya, pemilihan penerbangan ke Medan itu adalah berdasarkan lokasinya yang berdekatan dengan Kedah selain ia merupakan antara destinasi popular dalam kalangan pelancong.

"Penerbangan hanya mengambil masa selama 55 minit. Tempahan tiket akan mula dibuka pada 15 Mei ini dan dijangka mampu menarik pelancong bukan sahaja dari Kedah tetapi juga Perlis dan selatan Thailand," katanya.

Tunku Johanez berkata penumpang juga boleh mengunjungi Jakarta menggunakan  penerbangan tersebut dengan transit di Medan sebelum penerbangan diteruskan ke ibu negara Indonesia itu.

Beliau juga berkata perkhidmatan penerbangan akan diperluaskan dari Alor Setar ke Acheh, Surabaya, Jogjakarta, Thailand dan China dalam masa terdekat.-- Bernama

Artikel Lain