suria

Sektor Hartanah Diunjur Mendatar Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Sektor hartanah dijangka mendatar tahun ini, berikutan pembeli bersikap 'tunggu dan lihat' terhadap pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan dijejaskan lagi oleh kelemahan ringgit.

Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia, Siva Shanker berkata, ia menunjukkan langkah positif yang dilaksanakan kerajaan telah bermula, yang memberi kebaikan kepada sektor berkenaan.

"Bagaimanapun, industri, akan meningkat pada 2016 dan 2017 serta memuncak pada 2018," katanya kepada pemberita pada Konvensyen Hartanah Malaysia 2015 di sini, Jumaat.

Kerajaan telah mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi kepada 10 tahun dan pembiayaan hartanah kepada 35 tahun bagi mengurangkan kenaikan hutang isi rumah.

Ini menyebabkan pembiayaan hartanah semakin ketat apabila bank perlu lebih berhati-hati dalam kriteria kelayakan pinjaman.

Siva berkata, generasi muda akan menjadi pemangkin bagi menyokong pasaran, dengan separuh daripada populasi Malaysia berusia 25 tahun ke bawah.

"Rumah mampu milik pada masa kini menjadi topik yang hangat diperkatakan memandangkan banyak projek kerajaan dan pemaju lain menumpukan segmen ini," katanya.
Siva berharap kebanyakan rumah di bawah kategori rumah mampu milik akan berharga antara RM150,000 dan RM250,000 seunit bagi membolehkan pembeli yang berpendapatan RM3,000 ke bawah memilikinya.

Artikel Lain