TH Plantation Catat Keuntungan Lebih Rendah Bagi Tahun Kewangan 2014 - Niaga | mStar

TH Plantation Catat Keuntungan Lebih Rendah Bagi Tahun Kewangan 2014

KUALA LUMPUR: Keuntungan pracukai TH Plantation Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 jatuh kepada RM58.21 juta berbanding RM71.04 juta pada 2013 disebabkan oleh margin keuntungan lebih rendah.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, berkata bagaimanapun, pendapatannya meningkat kepada RM488.91 juta daripada RM469.95 sebelum ini.

Dalam kenyataan berasingan, TH Plantation berkata pengeluaran tandan buah segar (FFB) mencatatkan pertumbuhan sekadar satu peratus manakala pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pula sebanyak tiga peratus.

Katanya, sekalipun keluasan kawasan matang meningkat sebanyak 17 peratus pada 2014, musim kemarau yang melanda dalam enam bulan pertama merencatkan pertumbuhan pengeluaran.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif, Datuk Zainal Azwar Zainal Aminuddin berkata, keadaan cuaca kering tidak normal itu menyebabkan kelembapan pengeluaran FFB yang ketara dalam separuh kedua, terutama pada suku terakhir.

Katanya, ditambah dengan musim hujan dan banjir pada November dan Disember, selain kelemahan harga MSM pada separuh kedua, 2014 merupakan tahun yang mencabar bagi syarikat dan industri amnya.

"Bagaimanapun kami dapat menampung impak cabaran-cabaran ini dengan meningkatkan produktiviti selain melaksanakan langkah-langkah penjimatan seluruh operasi.

"Kami juga mengubah suai strategi pemasaran untuk bertindak balas pada kadar segera terhadap perubahan harga MSM serta merebut peluang berdagang pada harga lebih menarik ketika dan apabila harga meningkat," katanya.

Zainal Azwar berkata, asas jangka panjang industri minyak sawit kekal teguh dan TH Plantation kini menumpukan kepada strategi pembangunan.

Beliau berkata, syarikat mengoptimumkan ladang-ladangnya dengan inisiatif penanaman baharu dan semula serta dijangka dapat merealisasikan potensi penuh simpanan tanahnya yang diperbesar dalam tempoh jangka sederhana dan panjang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Veritas Design Optimistik Dengan Prospek 2015

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi