suria

Maybank Raih Untung Pracukai RM9.11 Bilion Pada 2014

Megat Zaharuddin (tengah) bersama Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank, Mohamed Rafique Merican (kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias (kiri) membincangkan kedudukan syarikat pada taklimat media, Khamis.

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatat keuntungan pracukai lebih tinggi kepada RM9.11 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding RM8.86 bilion pada 2013.

Pendapatannya turut meningkat kepada RM35.71 bilion daripada RM33.25 bilion, sebelum ini.

Bagi tempoh suku keempat tahun lepas, Maybank mencatatkan keuntungan pracukai sebanyak RM2.43 bilion yang disokong pendapatan RM9.66 bilion.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor menyifatkan keputusan kumpulan yang lebih baik itu dipacu pengukuhan segmen francais di rantau ini.

Ia, katanya, membantu Maybank mencapai prestasi lebih baik biarpun berdepan persekitaran global yang goyah pada tahun lepas.

"Tindakan kami mempelbagaikan usaha serta memberi tumpuan kepada pembangunan  perniagaan dalam segmen pasaran yang menguntungkan serta disiplin pengurusan kos, terbukti dapat memastikan kami terus mewujudkan nilai kepada semua pemegang saham," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Artikel Lain