suria

TH Tumpu Pelaburan Domestik

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan memberikan tumpuan kepada pelaburan domestik tahun ini dalam usaha merancakkan prestasi ekonomi negara.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Ismee Ismail berkata TH bakal memberikan penekanan pada sektor hartanah dan minyak dan gas berikutan prestasi pasaran saham yang lemah ketika ini serta kejatuhan harga minyak dunia.

Katanya penekanan terhadap dua sektor itu pada tahun ini bergantung kepada keadaan pasaran semasa dan kemungkinan akan dilanjutkan pelaksanaannya sehingga tahun hadapan.

"Bagi sektor hartanah, tumpuan kita adalah dari segi pembangunan projek berkonsepkan kediaman di Kuala Lumpur, Selangor, Johor serta Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil Badal Haji kepada 10 anak kapal yang terkorban dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, di sini, pada Isnin.

Bagi sektor minyak dan gas pula, Ismee berkata, sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk menceburi sektor tersebut secara lebih serius berdasarkan pada harga semasa minyak mentah dunia.

Bagaimanapun, katanya, jabatan pelaburan TH kini sedang membuat kajian  terperinci berkenaan perancangan tersebut.

"Kita akan kaji semua sektor, bukan sahaja minyak dan gas, tetapi sektor-sektor lain yang boleh memberi pulangan baik apabila suasana pasaran berubah atau menjadi lebih baik dan buat masa sekarang saya percaya salah satunya adalah minyak dan gas," katanya.

Tabung Haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain