suria

Kerajaan Teruskan Cukai Sifar Eksport MSM Pada Mac

KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan dasar cukai sifarnya bagi eksport minyak sawit (MSM) pada Mac, demikian umum Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Isnin.

Dasar bebas cukai bagi MSM itu kali pertama diperkenalkan bagi tempoh tiga bulan dari Oktober hingga Disember 2014 dan kemudiannya dilanjutkan sehingga 28 Februari 2015, untuk meningkatkan eksport.

Langkah itu mengejutkan pasaran kerana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas mengumumkan baru-baru ini kerajaan merancang mengenakan semula cukai eksport bagi MSM bermula bulan depan.

Sebelum Oktober 2014 Malaysia mengenakan 4.5 peratus cukai ke atas eksport MSM.

"Keputusan oleh kerajaan itu adalah untuk mengekalkan eksport MSM dan membantu mengurangkan inventori," kata Pakar Produk Derivatif Phillip Futures Sdn Bhd David Ng kepada Bernama, Isnin.

Pada akhir Januari 2015, stok MSM Malaysia berjumlah 1.77 juta tan metrik berbanding 2.01 juta tan metrik pada akhir Disember.

Beliau berkata, harga MSM masih berlegar di bawah RM2,250 setan metrik justeru itu dasar cukai sifar perlu diteruskan.

Ng, bagaimanapun, percaya kerajaan akan menyemak semula struktur cukai apabila komoditi itu didagangkan pada harga yang baik.

Malaysia dan Indonesia, dua pengeluar MSM utama dunia dijangka mengeluarkan gabungan pengeluaran 51.1 juta tan metrik pada 2015 daripada 49.2 juta tan metrik tahun lepas.

Indonesia menetapkan tarif sifar bagi eksport MSM sejak Oktober tahun lepas.

MSM, MPOB, Douglas Unggah Embas

Artikel Lain