suria

Boeing Tawar Super Hornet Yang "Amat Berpatutan" Kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: Boeing Company, yang sedang memasarkan jet pejuang Super Hornet memiliki kelebihan berbanding pesaing yang lain memandangkan pesawat itu memberikan tawaran yang "amat berpatutan" dari segi jangka panjang kepada Malaysia.

Pengeluar pesawat antarabangsa itu juga bersedia untuk membantu Malaysia dari segi pembiayaan jet pejuang yang berdaya tahan itu, memandangkan masalah  kewangan yang dihadapi akibat daripada kelembapan ekonomi global.

"Tidak ada pesawat lain dalam program ini, yang mampu menandingi kemampuan Super Hornet," kata Naib Presiden Boeing untuk Jualan Antarabangsa F/A18E/F, Global Strike, Defense, Space and Security, Howard M Berry kepada Bernama.

"Apabila anda lihat kepada keseluruhan kos kitaran hayat pesawat tersebut, daripada perolehan kepada sokongan sepanjang hayat, termasuk latihan, logistik dan akhirnya mengeluarkan pesawat daripada perkhidmatan, sokongan itu hanya pada kadar 70 peratus sahaja," katanya.

Boeing menyedari bahawa seperti negara-negara lain, Malaysia sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi berikutan kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit yang lemah.

Beliau bagaimanapun yakin, "dalam dunia yang sentiasa berubah, harga minyak akan naik semula."

"Kami telah berbincang dan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia. Kami boleh uruskan hal-hal kewangan dan menangani sebarang masalah pembiayaan yang mungkin timbul dalam tempoh terdekat.

"Akhirnya, pembelian ini akan diputuskan oleh kuasa politik dan kami sedang melihat, bagaimana ia boleh memberi pengaruh," kata Berry.

Boeing sejak dari 2002, sudah pun membuat tawaran kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang pada masa sekarang, mempunyai lapan pesawat dari generasi lama, F/A-18D.

"Kami bersedia untuk terus terlibat. Ini merupakan jualan yang penting untuk kami. Kami akan buat apa yang terbaik bagi memudahkan perolehan itu sebaik sahaja kerajaan bersedia untuk bergerak ke hadapan," katanya.

Menurut Berry, versi Super Hornet yang akan dijual kepada Malaysia merupakan Block II, yang telah mula beroperasi dalam 2007 dan memandangkan Malaysia sudah pun biasa dalam pengoperasian Hornet, ia lebih mudah diserapkan.

Super Hornet yang baharu sahaja diperkenalkan dalam 7-8 tahun lepas, merupakan aset tempur US yang paling baharu.

Pesawat itu sudah mencatatkan 1.4 juta jam penerbangan dan merupakan pesawat yang telah matang dan paling relevan untuk dioperasikan.

Kata Berry, TUDM bakal mendapat faedah disebabkan Super Hornet merupakan pesawat yang direka bentuk dengan risiko yang rendah.

"Jika anda beli dari pesaing kami, pesawat mereka masih belum matang dan sistem-sistem utama mereka juga masih dalam peringkat pembangunan terutama radar AESA mereka, (Active Electronically Scanned Array)," katanya.

Super Hornet pula sudah pun memiliki radar AESA yang paling maju, jenis APG-79 yang dikeluarkan oleh Raytheon, tanpa ragu lagi merupakan teknologi radar AESA yang paling ke hadapan dan sudah terbukti dalam pertempuran.

Katanya, Super Hornet F/A-18E/F juga direka khusus untuk peranan mereka.

Malaysia mempunyai pelbagai cabaran yang perlu ditangani seperti garis pantai yang panjang, serangan di Sabah, rondaan maritim dan juga penguasaan udara.

"Untuk menangani cabaran ini, anda memerlukan kemampuan untuk membuat rondaan. Pesawat Super Hornet, sebagai contoh, memiliki capaian dan kebolehan tersebut. Ia dikemudikan oleh dua kru dan enjin berkembar. Enjin berkembar merupakan rahsianya, mana-mana juruterbang yang membuat rondaan maritim akan berkata, mereka suka pesawat dua enjin.

"F/A18F paling sesuai untuk operasi maritim. Kokpit dengan dua tempat duduk merupakan kunci dan apabila anda sedang terbang di atas air, melihat ke horizon sempadan yang dikuasai dan memantau keselamatan maritim, memiliki kru kedua di dalam pesawat memberikan kelebihan," katanya.

Pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2001 (LIMA 2001), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan Menteri Pertahanan ketika itu, telah mencatat sejarah sebagai Menteri Pertahanan pertama yang telah terbang di dalam pesawat F/A-18 E/F yang dipandu oleh Ketua Juruterbang Penguji Boeing, Dave Desmond.

Boeing Defense, Space  and  Security, yang merupakan anak syarikat Boeing Company adalah sebuah perniagaan sekuriti, pertahanan dan udara yang terbesar di  dunia dan memiliki kepakaran khusus dalam penyelesaian pelanggan yang dipacu oleh kemampuan dan inovatif, serta pengeluar pesawat tentera yang paling serba boleh dan besar di dunia.

Boeing, Super Hornet

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain