suria

Haji Sharin Low Group Of Restaurants Pelawa Usahawan Jalin Pakatan

KANGAR: Haji Sharin Low Group of Restaurants berhasrat mengembangkan lagi perniagaan halal masakan khas Cina-Muslim dan mempelawa usahawan yang berminat melabur secara usaha sama.

Pengarahnya, Haji Sharin Low Abdullah berkata perniagaan menyediakan masakan Cina-Muslim di negara ini mempunyai potensi yang menggalakkan berikutan ramai masyarakat Cina dari seluruh dunia kerap mengunjungi Malaysia.

"Sejak menceburi perniagaan ini lapan tahun lepas, saya mendapati rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum gemar masakan Cina. Ini mendorong saya membuka lebih banyak cawangan," katanya semasa ditemui selepas pelancaran cawangan ke-26 restoran tersebut di sini, Khamis.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan restoran tersebut.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Hajjah Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menurut Haji Sharin, nilai jualan 25 cawangan restoran tersebut pada tahun lepas meningkat RM2 juta kepada RM24 juta berbanding pada 2013.

Beliau berkata cuma lima cawangan dikendalikan beliau dan keluarganya manakala bakinya dijalankan secara usaha sama atas dasar pemilikan 50-50 dengan usahawan tempatan.

"Saya tidak mengenakan yuran francais kerana mahu berkongsi rezeki dengan usahawan yang berminat dan mereka boleh hubungi saya melalui telefon di nombor 019-3731999," kata Haji Sharin yang memeluk Islam sejak berumur 21 tahun.

Beliau berkata kos pelaburan sebuah restoran bergantung kepada saiz dan sebagai contoh cawangan di Kangar melibatkan kira-kira RM250,000 sahaja.

"Sebagai orang Islam, saya bertanggungjawab menyediakan makanan halal dan kami sedang dalam peringkat memohon sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," tambahnya.

Haji Sharin berkata, beliau dan seorang bekas menteri merancang mendirikan sebuah kompleks sebagai institut latihan untuk melahirkan cef masakan halal di Kuala Lumpur yang melibatkan kos RM5 juta hingga RM6 juta.

Mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata, bagi peniaga jujur, cukai itu tidak menyusahkan malah menyenang dan memudahkan pungutan cukai oleh pihak berkuasa.

Haji Sharin Low, Cina-Muslim, halal

Artikel Lain