suria

Industri Insurans Malaysia Dijangka Kukuh Tahun Depan, Kata Pakar

KUALA LUMPUR: Industri insurans negara dijangka kukuh pada tahun 2015 walaupun ketidaktentuan ekonomi global akan memberi kesan kepada Malaysia, demikian menurut pakar industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Takaful Bhd, Ahmad Rizlan Azman berkata, terdapat potensi besar bagi pasaran yang menjamin pertumbuhan berterusan pada tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata, kadar penembusan pasaran bagi Takaful agak rendah berbanding dengan penduduk Islam di Malaysia.

"Bagaimanapun, memandangkan pasaran yang belum diterokai besar yang masih wujud dengan hanya 54 peratus daripada jumlah penduduk mempunyai insurans hayat atau polisi Takaful Keluarga, terdapat ruang yang luas untuk berkembang di Malaysia," katanya kepada Bernama.

Rizlan berkata secara keseluruhannya, industri Takaful secara relatif menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding insurans konvensional, sambil menambah bahawa, dari segi jumlah sumbangan, Takaful mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus pada tahun 2013 berbanding 2012.

Insurans konvensional mencatatkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus dalam jumlah premium dalam tempoh yang sama.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Bhd Abdul Latiff Abu Bakar bersetuju dengan pandangan mengenai perkembangan industri Takaful berbanding insurans konvensional.

Beliau memetik Buletin Perangkaan Bulanan Bank Negara Malaysia (BNM), yang menyatakan bahawa pada separuh pertama 2014, sektor Takaful mencatatkan lima peratus pertumbuhan dalam dana aset Takaful, manakala insurans konvensional mencatatkan empat peratus pertumbuhan.

Bagaimanapun, Abdul Latiff berkata mengikut perangkaan dana aset daripada Buletin Perangkaan Bulanan BNM, bagi separuh pertama 2014, sektor Takaful mencatatkan penurunan dalam pendapatan caruman bersih sebanyak tujuh peratus berbanding tempoh yang sama 2013.

Sektor konvensional mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10 peratus dalam pendapatan premium pada tempoh yang sama.

Mengenai kedudukan sehingga akhir tahun, industri takaful dijangka terus mencatatkan pertumbuhan dua angka yang kukuh, lebih daripada 20 peratus, berdasarkan laporan 'Global Takaful Insights 2014' Ernst  and  Young.

"Malaysia telah muncul sebagai pasaran Takaful keluarga terbesar di dunia dan dijangka terus menerajui segmen Takaful Asean, menguasai 70 peratus daripada caruman Takaful kasar," kata Abdul Latiff.

Mengenai cabaran, Rizlan berkata industri insurans pada 2015 akan menghadapi pelbagai perubahan, kerana peraturan-peraturan baharu dan regim modal berasaskan risiko (RBC) untuk Takaful.

"Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013 akan menyaksikan syarikat insurans komposit dan pengendali Takaful melepaskan lesen komposit mereka, oleh itu mengasingkan perniagaan hayat/keluarga dan am menjadi entiti yang berbeza, setelah  pengendali diberikan lima tahun untuk mematuhi keperluan," katanya.

Beliau berkata keperluan penanggung insurans komposit mengasingkan operasi mereka kepada lesen yang berasingan bagi perniagaan hayat dan am yang boleh membawa kepada satu lagi pusingan penyatuan pasaran.

"Penanggung insurans komposit mungkin melupuskan bahagian operasi insurans mereka jika kos modal tambahan menjadi beban, akibat daripada kos pematuhan peraturan mengatasi pulangan yang boleh dijana," katanya.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata pelaksanaan IFSA kini berterusan dan pelbagai aspek diperlukan untuk diberi perhatian dalam mematuhi proses peraturan, supaya pengendali Takaful terikat dengan peraturan ini kekal relevan di pasaran.

Di pihaknya, Rizlan berkata terdapat juga kekurangan pakar pengunderaitan dan insurans semula dalam Takaful am, tetapi yang paling penting, cabaran bagi industri Takaful masih tentang kesedaran awam.

"Oleh itu, lebih banyak program dan aktiviti untuk mendidik dan meningkatkan penyebaran maklumat mengenai Takaful sangat penting," katanya.

Abdul Latiff bersetuju dengan Rizlan mengenai keperluan tentang kesedaran Takaful, dan mengulas bahawa kekurangan dalam kalangan bukan Islam sangat ketara.

"Takaful Ikhlas akan menghalakan tumpuannya terhadap menampilkan konsep dan amalan segmen ini dalam medium tumpuan pelbagai kaum untuk menarik kadar langganan yang lebih tinggi dalam kalangan bukan Islam.

"Di Takaful Ikhlas, kami telah memulakan kempen berterusan untuk mempromosikan Takaful kepada orang bukan Islam.

"Selain itu, dengan kemunculan asas besar pasaran Generasi-Y, terdapat keperluan bagi industri mengambil pendekatan berbeza dalam memasarkan produk dan perkhidmatannya.

"Ini termasuk sistem dan teknologi yang lebih baik dalam urus niaga perniagaan untuk masa yang lebih cepat, perkhidmatan berkualiti, dan kemudahan menjalankan perniagaan dengan pelanggan," katanya.

Mengenai prospek luar, Ketua Lloyd Asia, Asia Pasifik Kent Chaplin berkata pasaran Takaful global dijangka terus berkembang pada kira-kira 14 peratus pada 2014, dipacu oleh pasaran utama Malaysia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Menjelang 2017, industri Takaful global boleh mencecah lebih US$20 bilion.

"Malaysia telah muncul sebagai pasaran Takaful keluarga terbesar di dunia.

"Jumlah sumbangan bersihnya Takaful keluarga mencecah USS$1.4 bilion  tahun lepas dengan pertumbuhan stabil dari produk sumbangan tetap. Malaysia akan terus menjadi pasaran dalam Asean untuk dipantau," kata Chaplin.


Artikel Lain