suria

Paras Harga Minyak Semasa Memihak Ekonomi Negara, Kata Zeti

Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR: Paras harga minyak semasa memihak kepada ekonomi negara kerana ia menurunkan kos bagi perniagaan dan pengguna selain mengurangkan inflasi, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata pengguna akan mempunyai lebih banyak dana untuk perbelanjaan lain dan meningkatkan permintaan penggunaan terhadap barangan lain yang dapat memacu pertumbuhan.

"Dengan itu, kita dan rantau ini berupaya kekal di landasan pertumbuhan mampan," katanya dalam ceramah khas mengenai Komuniti Ekonomi Asean dan Globalisasi yang dianjur oleh Kelab Perniagaan Asean, di sini, Isnin.

Bagaimanapun, Zeti berkata, jika harga minyak jatuh kepada paras ambang tertentu, pendapatan kerajaan dan perbelanjaan pembangunan akan terjejas.

Beliau berkata, pelaburan dalam industri petroleum akan dikurangkan dan apabila bekalan terkawal harga akan meningkat.

Harga minyak mentah Brent jatuh ke paras terendah lima tahun pada US$70 setong berikutan keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC)
untuk mengekalkan siling pengeluaran sedia ada.

Mengenai mata wang, Zeti berkata: "Kita unjurkan prestasi mata wang lebih baik di rantau ini."

Mata wang di rantau ini mesti mencerminkan pendasar asas ekonomi, katanya.

Terdahulu, beliau berkata penormalan dasar monetari oleh negara maju menyebabkan banyak mata wang serantau mengalami susut nilai.

Pada masa ini Ringgit diniagakan pada 3.42 berbanding dolar AS. 


Zeti Akhtar, harga minyak, Asean

Artikel Lain