suria

Penstrukturan Semual MAS, Mengikut Jadual - Khazanah

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd berkata terdapat kemajuan di semua peringkat dalam rancangan penstrukturan semula Malaysia Airlines (MAS), di bawah Pelan Pemulihan MAS (MRP) yang menyeluruh dengan 12 perkara bagi tempoh lima tahun seperti yang diumumkan pada 29 Ogos.

Khazanah dalam satu kenyataan hari ini, mengumumkan kemajuan perkembangan pertamanya berhubung MRP.

Cabang pelaburan kerajaan itu berkata ia akan terus memaklumkan perkembangan terkini setiap tiga bulan kepada semua pihak berkepentingan, terutama orang ramai, mengenai kemajuan penyusunan semula berkenaan.
 
"Penstrukturan semula MAS berjalan lancar dengan beberapa kejayaan utama dicapai dan beberapa kemajuan lagi dijangka pada suku akan datang, khususnya menjelang akhir tahun," kata Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar.
 
Khazanah berkata keseluruhan kemajuan telah dicapai merangkumi empat bidang utama MRP iaitu rangka kerja tadbir urus dan kewangan, model perniagaan operasi, kepimpinan dan modal insan, serta kawal selia dan persekitaran sewajarnya.
 
Antara lain ia menyatakan, Pejabat Pengurusan Penstrukturan Semula MAS dengan hampir 50 kakitangan kini beroperasi sepenuhnya.
 
Setakat ini, 29 sesi mesyuarat telah diadakan dengan kakitangan MAS untuk mendapatkan maklum balas dan memaklumkan kepada mereka mengenai pelbagai inisiatif penstrukturan semula itu.
 
Ini turut diperkukuhkan lagi dengan usaha jangkauan yang lebih luas, yang dijalankan oleh pengurusan MAS.

Mengenai cadangan penyahsenaraian, Khazanah berkata pemegang saham minoriti MAS sudah meluluskan cadangan bagi pengurangan modal terpilih dan proses pembayaran balik semula (SCR) seperti diputuskan pada mesyuarat agung luar biasa.
 
"SCR dijangka selesai pada 3 Dis, 2014, sementara menunggu kelulusan Mahkamah Tinggi," katanya.

Penyahsenaraian ini merupakan antara syarat bagi penstrukturan semula keseluruhan MRP dan pembiayaan modal pelaburan sebanyak RM6.0 bilion.

Dengan penyahsenaraian ini, tranche pertama suntikan modal bersyarat Khazanah berjumlah sehingga RM2.0 bilion, akan diagihkan bagi pembayaran semula kepada pemegang saham minoriti, dan juga untuk modal kerja serta perbelanjaan penstrukturan semula.

Khazanah berkata syarikat baharu untuk menggantikan MAS, Malaysia Airlines Bhd, diperbadankan pada 7 Nov dan dijangka beroperasi menjelang 1 Julai 2015.

Rang Undang-Undang Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2014 telah dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 Nov.

Rang Undang-undang itu dijangka dibentangkan di Dewan Negara pada sesi akan datang pada Disember 2014, katanya.

Khazanah dijangka membuat pengumuman penting tentang kepimpinan Malaysia Airlines Bhd menjelang akhir tahun.

Ia juga berkata proses penilaian tenaga kerja di MAS untuk mengenal pasti pekerja yang diperlukan oleh Malaysia Airlines Bhd, dianggarkan 14,000 pekerja, sedang dilaksanakan.

Sementara itu, kerangka kerja bagi cadangan Pusat Latihan Semula Korporat dan Pusat Penempatan Semula, sudah diwujudkan dan disasarkan untuk pelancaran pada 1 April, 2015.

Menurut Khazanah, Terma Rujukan Panel Perundingan Pekerja (ECP) telah dirangka.
 
ECP akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada awal Disember 2014.
 
Kajian semula yang komprehensif bagi semua kontrak, kini berjumlah 5,000 sedang dilaksanakan.
 
Keutamaan diberikan kepada kontrak yang berpotensi menyediakan peluang pengurangan kos yang signifikan dan peningkatan kecekapan.
 
Selain itu, garis panduan yang dikaji semula untuk memasuki kontrak baharu dan pembaharuan kontrak juga sedang dilaksanakan manakala persiapan juga sedang dilakukan bagi meneliti had pihak berkuasa bagi pemberian kontrak.

Khazanah berkata terma dan syarat Jawatankuasa Tadbir Urus dan Etika (GEC) telah dirangka.

Ia dijangka beroperasi selepas selesainya proses penyahsenaraian MAS dan akan mempunyai tempoh sah antara tiga dan lima tahun.

Pemindahan tenaga kerja dari Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan bermula pada suku kedua 2015.

Langkah itu pada awalnya dirancang bermula tahun ini tetapi ditangguhkan bagi memastikan pekerja MAS yang tidak berkhidmat dengan Malaysia Airlines Bhd tidak akan dibebani tanpa sebab apabila terpaksa berpindah ke KLIA.

Sementara itu, kerja-kerja pengubahsuaian di Bangunan Kemudahan Sokongan dan rancangan pengubahsuaian hangar kejuruteraan di KLIA telah bermula. Tanah bagi pembangunan ibu pejabat Malaysia Airlines Bhd telah dikenal pasti.

Menurut Khazanah, ramai individu dengan kepakaran dan pengalaman berkaitan telah secara sukarela menemuinya untuk menjadi sebahagian daripada penstrukturan semula itu.

Setakat ini, banyak curriculum vitae (CV) telah diterima dan permohonan diteliti, dengan beberapa pihak bersedia untuk menyertai usaha penstrukturan semula itu.
 
Khazanah juga menerima tidak kurang daripada 28 cadangan perniagaan yang menyatakan minat untuk menyertai atau melengkapi MRP.
 
"Kami ingin menyatakan bahawa seperti yang ditetapkan proses operasi dan prosedur Khazanah, hanya cadangan yang berwibawa dinilai dan diteliti," katanya.

penyenaraian MAS, Khazanah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain