suria

Isu Eksport Sarang Burung Belum Diproses Ke China Masih Dibincang

BEIJING: Isu pengeksportan sarang burung yang belum diproses dari Malaysia ke China masih lagi dibincangkan, terutama melibatkan tahap kandungan nitrat yang terdapat di dalamnya, kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin.


Sekatan eksport ke atas sarang burung mentah ke China dilaksanakan sejak dua tahun lepas setelah bahagian kesihatan negara ini mendapat aduan orang ramai mengatakan kandungan nitrat sarang burung dari Malaysia terlalu tinggi dan berbahaya kepada kesihatan.

Bagaimanapun, sekatan ini tidak melibatkan eksport sarang burung dalam bentuk siap untuk dimakan atau diminum dalam botol.

"Kebimbangan yang nyata ialah paras kandungan nitrat. Perbincangan antara agensi-agensi yang terbabit masih lagi berkisar kepada tahap peratusan kandungan nitratnya yang boleh diluluskan," kata beliau.

Iskandar berkata demikian kepada media Malaysia yang membuat liputan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) selama dua hari bermula Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tiba Ahad, mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak ini.

Sementara itu, menyentuh hubungan dua hala Malaysia-China, Iskandar berkata Malaysia adalah antara beberapa negara yang mendapat keistimewaan di China.

"Hubungan dua hala ini telah ditingkatkan daripada kerjasama strategik kepada kerjasama komprehensif meliputi semua yang menjurus kepada satu pembentukan rangka kerja agar hala tuju hubungan ini menjadi lebih kukuh," katanya.

Sebagai contoh dalam bidang perdagangan, dengan rangka kerja kerjasama telah ditandatangani yang menetapkan dalam tempoh lima tahun, kedua-dua negara perlu mempertingkat dagangan untuk mencapai US$160 bilion menjelang 2017.

Antara bidang lain yang turut terlibat ialah pertahanan, kesihatan, pelancongan dan pendidikan.

"Dan, seperti yang kita maklum, ada juga bidang-bidang ini yang mempunyai sedikit implikasi seperti insiden MH370, namun ia tidak menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara", katanya.

Pada 2013, kedua-dua negara menerima jumlah pelawat yang menggalakkan iaitu hampir 1.7 juta keluar masuk ke kedua-dua negara dan pada tahun ini, aliran masuk masih baik walaupun terdapat sedikit penurunan.

"Secara keseluruhannya saya boleh menyatakan bahawa tiada prasangka buruk terhadap kerajaan, sama ada kerajaan Malaysia atau China, membabitkan cara kita menangani dan menyelesaikan isu ini," katanya.


sarang burung, China, eksport

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain