suria

Industri Kewangan, Perbankan Catat Peningkatan Gaji Tertinggi

KUALA LUMPUR: Industri kewangan dan perbankan Malaysia menyaksikan peningkatan gaji tertinggi dalam tempoh 12 tahun antara 10 dan 25 peratus, berdasarkan kepada garis panduan Malaysia Salary Guide 2014/2015.


Pengarah Urusan Kelly Services (M) Sdn Bhd, Kamal Karanth berkata, kenaikan gaji itu adalah disebabkan pertumbuhan sektor kemahiran khusus (seperti perbankan dan kewangan Islam) dan dasar positif pekerjaan yang disediakan oleh kerajaan.

"Ia memacu permintaan bagi tenaga kerja yang ada serta kemahiran," katanya selepas pelancaran garis panduan gaji itu di sini, Rabu.

Hasil daripada kaji selidik itu menunjukkan bahawa pekerjaan yang menjadi tumpuan dalam sektor perkhidmatan kewangan meningkat kepada 20, di mana tujuh merupakan peranan baharu berbanding enam pada 2013/14.

"Peranan itu termasuklah jawatan seperti ketua Syariah bagi kewangan Islam, pengurus pengurusan risiko, ketua risiko kredit, pengurus risikan perniagaan dan pelatih pengurusan," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan bank telahpun mempunyai permintaan bagi kepakaran dalam bidang tersebut tetapi bilangannya masih rendah.

"Itulah sebabnya mengapa gaji bagi jawatan-jawatan itu dinaikkan kerana hanya ada beberapa pakar dalam bidang itu," katanya.

Hasil kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa sektor kewangan merupakan satu daripada yang terbesar di Malaysia dengan lebih 300,000 pekerja. Ia menyumbang sehingga 11 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.




Artikel Berikut

Artikel Lain