suria

Laporan: Inisiatif Tambah Baik Pengangkutan Awam Bandar Berjaya

KUALA LUMPUR: Beberapa inisiatif yang dilaksanakan kerajaan bagi menambah baik pengangkutan awam bandar (UPT) di Lembah Klang telah meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.


Menurut Laporan Ekonomi 2014-2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, berikutan inisiatif ini, peratus mod pengangkutan awam telah meningkat daripada 17 peratus pada 2010, kepada 21 peratus pada tahun lepas.

Kerajaan telah mensasarkan peningkatan peratus mod pengangkutan awam kepada 25 peratus menjelang 2015, dan 50 peratus menjelang 2020.

Menurut laporan itu, menambah baik UPT adalah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan matlamat utama adalah menambah baik keseluruhan ketersediaan dan kecekapan UPT di Lembah Klang, termasuk meningkatkan hubungan, menyediakan sistem bersepadu dan memastikan kemudahan lengkap untuk orang ramai.

Mengenai perkhidmatan bas, laporan itu berkata bilangan penumpang RapidKL bertambah daripada 65.7 juta bagi tempoh tujuh bulan pertama 2013 kepada 67.1 juta bagi tempoh sama tahun ini.

"Pada masa ini, 5,000 perhentian bas di Lembah Klang akan dilengkapi dengan panel maklumat terkini manakala 136 unit Paparan Maklumat Penumpang (PID), iaitu sistem yang memaparkan anggaran masa ketibaan bas akan dipasang di beberapa perhentian bas utama di sekitar Lembah Klang yang dijangka siap pada akhir 2015," kata laporan itu.

Selain itu, 12 set tren empat-gerabak telah diperoleh bagi meningkatkan kapasiti KL Monorel sedia ada dan dengan ini, bilangan penumpang dijangka meningkat 31.9 peratus daripada 21 juta pada 2010 kepada 27.7 juta pada 2015.

Sementara itu, laporan itu turut mendedahkan pertumbuhan subsektor pengangkutan dan penyimpanan bagi tempoh separuh pertama tahun ini, iaitu 4.7 peratus, berbanding empat peratus untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut laporan itu, pertumbuhan yang menggalakkan itu tercatat hasil peningkatan operasi lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang, serta dipacu oleh perjalanan penumpang yang mapan dan aktiviti berkaitan perdagangan yang pesat.

Bagi segmen pengangkutan darat dan udara, masing-masing mencatatkan pertumbuhan menggalakkan, iaitu 6.2 peratus untuk tempoh separuh pertama tahun ini berbanding 3.7 peratus untuk tempoh sama tahun sebelumnya, dan 4.9 peratus bagi separuh pertama tahun ini berbanding 3.8 peratus tahun sebelumnya bagi tempoh sama.

Menjelaskan lebih lanjut, laporan itu menyatakan bahawa pertumbuhan segmen pengangkutan darat disokong oleh pengangkutan fret yang lebih tinggi melalui jalan raya sejajar dengan peningkatan dalam aktiviti berkaitan perdagangan.

Bagi segmen pengangkutan udara pula, ia disokong oleh peningkatan ketibaan pelancong asing dan penumpang domestik berikutan promosi berterusan pakej perjalanan dengan tambang yang kompetitif oleh syarikat penerbangan.

Namun menurut laporan itu, segmen pengangkutan air menguncup sedikit sebanyak 2.7 peratus untuk enam bulan pertama tahun ini, berbanding 1.5 peratus tahun lepas bagi tempoh sama, ekoran permintaan yang lemah dalam kadar fret yang rendah.

Sementara itu, laporan itu turut menyebut kejayaan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) terus kekal dalam senarai 20 pelabuhan kontena utama dunia.


Artikel Lain