suria

Laporan: Pelaburan Swasta Pacu Pertumbuhan Ekonomi Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) yang memasuki tahun akhir pada 2015 akan menyaksikan pelaburan swasta kekal cergas dan dijangka mencatat pertumbuhan kukuh.


Menurut Laporan Ekonomi 2014-2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, prestasi memberangsangkan itu disokong oleh pelaksanaan pelbagai pelan termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

"Walaupun penggunaan swasta dijangka sederhana, prospek guna tenaga yang menggalakkan, bantuan tunai kerajaan dan cukai pendapatan individu yang lebih rendah serta pendapatan isi rumah yang lebih tinggi dijangka akan mengurangkan kesan kenaikan harga penggunaan," menurut laporan itu yang dikeluarkan, Jumaat.

Pelaburan awam juga akan terus menyokong pertumbuhan dengan perbelanjaan modal yang tinggi oleh Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK).

Menurut laporan itu Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang akan dibentangkan pada 2015 dijangka memberi tumpuan kepada mengukuhkan pertumbuhan dalam beberapa sektor antaranya perkhidmatan dan pembuatan, memanfaatkan modal insan dan menggalakkan keusahawanan terutama dalam kalangan belia.

Tumpuan lain RMK-11 adalah memantapkan pengurusan alam sekitar; meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan pembangunan secara inklusif.

"RMK-11 ini juga dijangka akan menggalakkan sektor swasta menjadi lebih dinamik terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi," menurut laporan itu.

Berdasarkan laporan itu juga, dasar fiskal pada 2015 akan terus menumpukan untuk memperbaiki kedudukan fiskal kerajaan di samping menyokong pertumbuhan ekonomi dan inisiatif pembaharuan.

Laporan itu juga menyebut, jumlah perbelanjaan kerajaan persekutuan dijangka pada RM271.9 bilion sementara pendapatan dianggarkan pada RM235.2 bilion tahun depan.

"Sementara itu, kerajaan akan mengehadkan hutang di bawah 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di samping memastikan hasil adalah lebih untuk menampung perbelanjaan operasi.

"Kerjasama erat antara agensi akan terus diperkukuh dalam program untuk mengelakkan pembaziran dan pertindihan serta mengoptimumkan penggunaan aset awam," menurut laporan itu.

Artikel Lain