suria

Tabung Haji Nafi Pelaburan di Detroit, AS

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan telah membuat pelaburan di Amerika Syarikat (AS).


"TH hari ini (Isnin) menyatakan rasa kesal atas kenyataan berbentuk spekulasi mengenai pelaburan TH di Amerika Syarikat baru-baru ini.

"TH sehingga kini tidak membuat sebarang komitmen pelaburan di Detroit atau mana-mana bandar lain di Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Oleh itu, TH berkata, tidak ada sebarang transaksi atau pembayaran telah dibuat bagi tujuan pelaburan di Amerika Syarikat.

"Oleh yang demikian, orang ramai sewajarnya tidak mempercayai sumber-sumber tidak rasmi yang hanya berbentuk spekulasi yang tidak mencerminkan keadaan sebenar," katanya.

TH setakat ini telah membuat pelaburan di Arab Saudi, United Kingdom, Australia dan negara-negara Asia untuk mempelbagaikan pelaburannya, katanya.

Berikutan pulangan yang memberangsangkan daripada pelaburan di negara-negara tersebut, TH akan terus mencari peluang pelaburan yang serupa di negara-negara lain berdasarkan kepada rangka kerja Strategi Alokasi Asetnya, katanya.

"Pelaburan luar negara, sebagaimana pelaburan domestik, adalah tertakluk kepada proses kelulusan pelaburan yang ketat.

"TH sentiasa menekankan kepentingan Ummah dan para pendeposit dalam semua aktiviti-aktiviti pelaburannya," katanya.

Aktiviti utama TH adalah dalam pengurusan haji, tabungan dan pelaburan.

Antara sektor pelaburan terasnya adalah kewangan Islam, perladangan, hartanah, pembinaan, teknologi maklumat, minyak dan gas, hospitaliti, perkhidmatan dan makanan halal.

TH mempunyai 120 cawangan di seluruh negara dan satu cawangan di Jeddah, Arab Saudi.

TH, Amerika Syarikat

Artikel Sebelum

Artikel Lain