suria

Jumlah Penumpang Jatuh Di KLIA, KLIA2

Sepanjang bulan Ogos, MAHB berjaya mengendalikan sejumlah 6.89 juta penumpang di KLIA, KLIA2 . -Foto EPA.
SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, yang dikendalikan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan penurunan jumlah pelancong sebanyak 6.1 peratus daripada 4.28 juta kepada 4.02 juta pada Ogos tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Menurut data awal yang dikeluarkan MAHB, lapangan terbang lain turut mencatatkan penurunan pergerakan penumpang sebanyak 3.8 peratus kepada 2.87 juta pada bulan Ogos. 

Sepanjang Ogos, MAHB telah mengendalikan sejumlah 6.89 juta penumpang di dua lapangan terbang berkenaan, dengan mencatatkan penurunan sebanyak 5.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu 7.27 juta penumpang. 

MAHB berkata, pelancong domestik dan antarabangsa turut mencatatkan penurunan masing-masing, sebanyak 3.8 peratus dan 6.4 peratus. 

"Ogos 2014  adalah bulan yang agak mengecewakan berbanding dengan Ogos 2013. Jika diimbas kembali Ogos 2013 mencatatkan peningkatan trafik paling tinggi sebanyak 27.8 peratus. Begitu juga pada Ogos 2012, hal ini kerana dalam tempoh tersebut perayaan utama seperti Hari Raya, musim cuti sekolah jatuh pada Ogos. 

"Bagaimanapun Ogos tahun ini, pertumbuhan negatif dicatatkan disebabkan peningkatan yang agak luar biasa tinggi pada 2013," menurut laporan MAHB. 

Laporan itu menyebut, penurunan trafik domestik di KLIA telah dijangka kerana syarikat penerbangan tempatan lebih memfokuskan untuk mengembangkan laluan antarabangsa. 

Antara Januari hingga Ogos ini, pergerakan trafik penumpang meningkat sebanyak 7.9 peratus dengan mencatatkan 54.6 juta penumpang jika dibandingkan pada tempoh yang sama tahun lalu. 

Sektor domestik dan antarabangsa berkembang masing-masing sebanyak, 7.4 peratus hingga 8.3 peratus, yang bersamaan dengan 32.3 juta atau peningkatan sebanyak 6.1 peratus penumpang yang menggunakan KLIA.

MAHB berkata, aktiviti promosi pelancongan telah dikurangkan secara jelas ekoran insiden kehilangan pesawat MH370 dan nahas MH17 yang dilihat memberi kesan negatif kepada pergerakan trafik domestik dan antarabangsa. 

Laporan itu menambah, kesan terhadap trafik domestik disebabkan oleh perubahan percutian yang jelas terutama sekali melibatkan perjalanan domestik antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. 


KLIA, KLIA, penumpang

Artikel Berikut

Artikel Lain