suria

Najib Sahkan Komitmen Malaysia Terhadap Rundingan TPPA

PUTRJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengesahkan komitmen Malaysia terhadap rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"TPPA merupakan komitmen yang penting. Malaysia mahu menjadi sebahagian daripadanya, dengan syarat keutamaan kita dipenuhi dalam keputusan akhir," kata Najib pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia Tony Abbott, di sini.

Mengenai Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau, Najib berkata: "Perdana Menteri Abbot dan saya bersetuju Malaysia dan Australia akan terus bekerja sama untuk mencapai kemajuan dalam rundingan dan menunggu hasil muktamad rundingan berkenaan pada 2015".

Bagi hubungan ekonomi, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa ia semakin kukuh, dengan dagangan dua hala menambah berbilion dolar dalam tempoh setahun.

Tahun lepas, Australia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia.

Dagangan barangan dan perkhidmatan dua hala bernilai RM61.9 bilion pada 2013, meningkat berbanding RM46.2 bilion pada 2010. Ini merupakan peningkatan 14.7 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Pada 2013, jumlah pelaburan Australia di Malaysia sebanyak RM28.9 bilion dan jumlah pelaburan Malaysia bernilai RM50.9 bilion.

Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia memperakui bahawa pergerakan pelawat perniagaan, pelabur dan profesional berkemahiran yang lebih bebas, merupakan komponen penting kejayaan dalam hubungan perniagaan itu.

"Dalam hubungan ini, saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Abbott bahawa pelawat perniagaan, pengurus dana asing dan pelabur boleh memohon visa masuk pelbagai, lima tahun mulai Disember ini," katanya.

Mengenai kerjasama kewangan, beliau berkata Australia menunjukkan minat mendalam dalam pembangunan kewangan Islam.


TPPA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain