suria

TH Tambah Baik Perkhidmatan Haji Hujung Tahun Ini

MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) melakukan penambahbaikan pada tahun ini dengan memperkenalkan beberapa perkhidmatan baharu termasuk memperluas sistem 'city check-in' di Makkah untuk jemaah haji.

Ketua Rombongan Haji Musim 1435 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata perkhidmatan pendaftaran bagasi di tempat penginapan itu diperkenal di Madinah sejak 2012 bagi memudah dan mempercepatkan proses pendaftaran di lapangan terbang.

Syed Saleh berkata selain itu, TH tahun ini mengunakan perkhidmatan bas khas yang lebih selesa untuk membawa jemaah haji Malaysia untuk perjalanan jauh iaitu antara Makkah, Madinah dan Jeddah, bagi mempertingkat keselesaan para jemaah.

Selain itu, semasa 'masyair' atau hari kemuncak haji yang bermula dengan wukuf di Padang Arafah sehingga selesai melontar jamrah di Mina pada Oktober ini, para jemaah akan dihidangkan dengan masakan ala Malaysia dalam bentuk 'sedia dimakan'," katanya.

Beliau berucap pada majlis taaruf atau kegiatan bersilaturahim anjuran Muassasah Asia Tenggara di sini Khamis malam.

Ketua Muassasah Asia Tengara Tan Sri Sheikh Zuhair Abdul Hamed Sedayu dan Timbalan Ketua Rombongan Haji Musim 1435 Nurrin Anuwar Shamsuddin turut hadir pada majlis itu.

Muassasah Asia Tenggara merupakan badan yang bertanggungjawab mengendalikan jemaah Malaysia dalam urusan haji selaras dengan persiapan oleh pelbagai pihak berkuasa Arab Saudi.

Syed Saleh berkata kerjasama baik antara Muassasah Asia Tenggara dan TH, membolehkan perkhidmatan yang disediakan untuk jemaah haji Malaysia dapat dipertingkat.

Beliau juga berkata pada musim haji tahun lepas, indeks kepuasan pelanggan melepasi sasaran badan itu sebanyak 84 peratus dengan mencatat 86 peratus berdasarkan maklum balas yang diperoleh daripada jemaah haji tahun lepas.

"Tahun ini TH menyasarkan untuk mencapai 85 peratus," katanya.

Badan Muassasah Asia Tenggara itu turut mengendalikan jemaah haji dari rantau Asia termasuk Indonesia, Brunei, Filipina, China dan Jepun.

Sementara itu, Sheikh Zuhair pula berharap kerjasama antara TH dan pihaknya dapat membantu mengurangkan kelemahan pengurusan jemaah haji pada tahun ini.

Sebelum itu, Syed Saleh dan Sheikh Zuhair menyambut ketibaan jemaah haji penerbangan pertama, 412 orang dari Madinah pada 9 malam waktu tempatan (1 pagi Jumaat waktu Malaysia) di maktab penginapan mereka di Abraj Al Janadiriyyah.

Syed Saleh pada majlis itu memberitahu pemberita Malaysia bahawa para jemaah itu yang di dalam keadaan berihram, telah bertolak dari Madinah pada 2 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia) dengan menaiki 10 buah bas.

Kesemua mereka yang bertolak dari Malaysia pada 27 Ogos lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), mendarat di Madinah untuk acara ziarah sebelum ke Makkah pada Khamis untuk melakukan umrah haji.

Syed Saleh berkata kesemua mereka dalam keadaan baik dan ketibaan mereka turut diraikan oleh Muassasah Asia Tenggara.

Jemaah akan melakukan tawaf tujuh pusingan mengelilingi Kaabah dan saie antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali pagi Jumaat dengan dibantu mutawif atau jurupandu yang disediakan oleh Muassasah sebelum bertahallul, iaitu keluar dari ihram, dengan menggunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut.

Sementara itu, sebuah lagi penerbangan haji KT19 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz di Madinah pada Khamis.

Penerbangan itu berlepas dari KLIA pada 10.30 pagi waktu Malaysia tiba di sini pada 2.15 petang (7.15 malam waktu Malaysia).

Dengan ini keseluruhan jemaah haji tiba di Arab Saudi ialah 6,281 orang daripada 22,320 jemaah haji yang akan mengerjakan ibadah berkenaan Oktober ini.

TH, Tabung Haji, Makkah

Artikel Sebelum

Artikel Lain