suria

Peserta Baharu Tak Jejas Peneraju Industri Kewangan Islam - Pakar Ekonomi Bahrain

Jarmo Kotilaine
KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara Majlis Kerjasama Teluk (MKT) kekal sebagai peneraju dalam industri kewangan Islam, walaupun kemunculan peserta baharu yang berusaha untuk mendapat manfaat daripadanya.

Ketua Pakar Ekonomi Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain, Dr Jarmo Kotilaine berkata, industri kewangan yang mantap memerlukan banyak komponen untuk pembangunan mampan dan seni bina kewangan Islam lebih maju dan lengkap di Teluk dan Malaysia berbanding bahagian lain dunia.

"Pusat lain boleh menyokong pertumbuhan kewangan Islam global tetapi tidak mungkin mencabar peranan kukuh Asia Tenggara dan Teluk.

"Banyak permintaan baharu untuk produk kewangan Islam global dijangka datang daripada pasaran membangun yang dinamik dengan keperluan pelaburan infrastruktur penting," katanya kepada Bernama ketika ditemu bual melalui e-mel.

Jumlah penerbitan sukuk melebihi US$100 bilion setahun untuk selama tiga tahun berturut-turut, berbanding tidak sampai US$200 bilion dalam tahun-tahun menjelang 2010.

Daripada jumlah itu, Malaysia adalah pasaran paling aktif pada 2013, merangkumi 69 peratus penerbitan sukuk global, diikuti Arab Saudi (14 peratus) dan Emiriah Arab Bersatu (8.0 peratus).

Kotilaine mengaitkan penerbitan tinggi bon Islam kepada peningkatan jumlah syarikat yang mengambil peluang mendapatkan mudah tunai pada kos rendah dan untuk mempelbagai penyelesaian pembiayaan mereka.

"Penerbitan sukuk negara kekal sebagai bahagian penting, dengan lebih 40 peratus penerbitan global pada 2013 terdiri daripada sukuk ringgit jangka pendek diterbitkan Bank Negara Malaysia dan ini diperlukan untuk mewujudkan penanda aras," katanya.

Kotilaine berkata, banyak pusat kewangan memberi perhatian kepada peluang terbabit berikutan peningkatan skala kewangan Islam.

Menurutnya, peningkatan minat dalam kewangan Islam di peringkat global mencerminkan keinginan menggunakan produk serta struktur prinsip yang sudah dicuba dan diuji dan tak lapuk dek zaman.

"Ketika krisis kewangan global terutamanya, seseorang itu perlu menjadi orang Islam untuk menghargai nilai manfaat rendah dan had ke atas spekulasi," katanya.

Selain minat yang meningkat kepada kewangan Islam, Kotilaine berkata, penduduk Islam akan memacu pertumbuhan kewangan Islam di seluruh dunia.



Artikel Lain