suria

Perlombongan Bijih Timah Bakal Beri Hasil Lumayan

IPOH: Perlombongan bijih timah dijangka kembali menjadi antara sumber semula jadi yang menyumbang kepada pulangan lumayan kepada hasil ekonomi dan industri negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata kerajaan negeri sedang membangunkan satu pelan tindakan perlombongan bagi memulihkan semula rantaian bekalan industri perlombongan negeri.

"Kami berharap semua pihak yang terlibat dalam industri perlombongan dapat menyedari akan pentingnya perlombongan berhemah dan mapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Perlombongan dan Pengkuarian Berhemah di sini pada Selasa.

Beliau berkata kerajaan negeri telah melantik Menteri Besar Incorporation (MB Inc) untuk membantu dalam merealisasikan industri perlombongan serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pembangunan mineral negeri.

"MB Inc ditubuhkan pada 1951 dan telah diberi mandat sebagai pemegang amanah dalam industri perlombongan, hartanah dan pelaburan strategik di negeri ini," katanya.

Pada Disember tahun lepas, MB Inc menandatangani perjanjian kerjasama di Hertforshire, London bersama International Tin Research Institute (ITRI) Limited dan The Camborne School of Mines, University of Exeter, Cornwall, United Kingdom bagi membangunkan pelan tindakan perlombongan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan MB Inc, Datuk Aminudin Hashim berkata permintaan terhadap bijih timah semakin meningkat dan yakin perlombongan bijih timah merupakan satu sektor menarik untuk diusahakan.

"Harga setan bijih timah sebanyak RM6,355 pada 1985 dan selepas 30 tahun, harga pasarannya meningkat kepada RM95,320 setan.

"Peningkatan sepuluh kali ganda itu menjanjikan pulangan lumayan untuk diusahakan kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai sektor," katanya.


Perak, Bijih Timah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain