suria

Anak Syarikat Ketengah Catat Keuntungan Lebih RM45 Juta Tahun Lepas

KUALA TERENGGANU: Anak syarikat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB) mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM45.34 juta pada tahun lepas.

Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud berkata, keuntungan tersebut bagaimanapun lebih rendah berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM62.18 juta.

"Penurunan dalam pencapaian keuntungan ini sebahagian besarnya disebabkan penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) iaitu daripada RM2,734 setan metrik pada tahun 2012 kepada RM2,342 setan metrik pada 2013.

"Ia juga disebabkan kejatuhan harga isi rong sawit (IRS) daripada RM1,516 setan metrik kepada RM1,355 setan metrik pada 2013 berikutan syarikat-syarikat penyumbang utama kepada KHSB ialah yang berasaskan kelapa sawit," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, penurunan harga tersebut mengakibatkan prestasi keuntungan syarikat termasuk sektor perladangan turut menurun. Bagaimanapun, penurunan tersebut tidak menjejaskan bahagian operasi.

"Penyumbang keuntungan paling besar adalah sektor perladangan antaranya Ketengah Wira Sdn Bhd yang telah mencatat keuntungan sebanyak RM12.8 juta dan diikuti Ketengah Jaya Sdn Bhd dengan keuntungan sebanyak RM9.9 juta.

"Penyumbang utama daripada sektor perkilangan pula adalah Kilang Sawit Panji Alam yang telah mencatat keuntungan RM5.1 juta," katanya.

Wan Mat Amin berkata, Ketengah kini mempunyai 14 anak syarikat.


Ketengah, KHSB, Wan Mat Amin Wan Daud

Artikel Berikut

Artikel Lain