suria

ICD Tambah Kepentingan Dalam PMB Tijari

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, Nazim Rahman (kanan).

MEKAH: Perbadanan Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD) menambah kepentingannya dalam PMB Tijari Sdn Bhd kepada 33 peratus untuk memperluaskan usaha niaganya dengan menceburi perniagaan pajakan Syariah di Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Mara Bhd (PMB), Nazim Rahman.

"Ekuiti yang bertambah ini mencerminkan keyakinan ICD terhadap kejayaan yang bakal dicapai oleh perkongsian, dan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia memandangkan kejayaan PMB Tijari sebagai sebuah syarikat perkhidmatan kewangan amat berkait rapat dengan pertumbuhan sektor swasta di Malaysia.

"Semasa PMB membeli PMB Tijari pada Januari (tahun ini), kepentingan ICD hanyalah 10 peratus," kata Nazim, sambil menambah bahawa cabang perkhidmatan kewangan jenama baharu PMB itu dahulunya dikenali sebagai KFH Ijarah House (Malaysia) Sdn Bhd.

"Sokongan institusi yang ditawarkan oleh PMB dan ICD akan membolehkan PMB Tijari berkembang ke luar pasaran tempatan dan kami berharap dapat memanfaatkan sumber kedua-dua pihak untuk mencapai objektif ini," katanya.

ICD ialah sebuah pertubuhan pelbagai hala dan sebahagian daripada Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IDB) manakala PMB ialah sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan aset milik penuh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

PMB dan ICD menandatangani perjanjian pemegang saham bagi PMB Tijari yang baru dijenamakan itu pada akhir Mesyuarat Tahunan Lembaga Pengelola IDB Group di Jeddah Khamis lepas.

Pada upacara menandatangani perjanjian itu, ICD diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Khaled Al-Aboodi, dilaporkan berkata bahawa Malaysia merupakan rakan kongsi utama dan ICD berharap dapat meningkat kerjasama dengan kerajaan dan sektor swasta Malaysia.

Khaled berkata selain pelaburan ekuiti langsung yang dibuat dalam syarikat usaha sama, ICD juga akan membawa ahli gabungannya, rakan teknikal pajakan global berpangkalan di Bahrain, Ijarah Management Company (IMC), untuk memberi bantuan teknikal dan alat-alat yang diperlukan bagi PMB Tijari.

Selain Malaysia, IMC yang ditubuhkan pada 2011, mengendalikan lebih tujuh syarikat pajakan di dunia, termasuk di Komanwel Negara-negara Merdeka (CIS), Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) dan negara-negara Afrika Barat, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Tijari, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata syarikat itu mempunyai pengkhususan dalam sektor komersil perkhidmatan kewangan Islam, yang merangkumi penyelesaian kewangan patuh syariah seperti pajakan, pembiayaan perniagaan dan pembiayaan kenderaan.

"PMB Tijari serba baharu ini sedia menawarkan perkhidmatan pembiayaan patuh syariah paling berdaya saing dan inovatif dalam industri," tegas beliau. 


PMB Tijari

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain