suria

KUB Bangunkan Perniagaan Tenaga Alam Sekitar Bersama Syarikat Jepun

KUALA LUMPUR: Syarikat yang disenaraikan di Papan Utama, KUB Malaysia Bhd akan bekerjasama dengan syarikat berpangkalan di Jepun, IHI Enviro Corporation, untuk membangunkan perniagaan tenaga alam sekitar di Malaysia.


Entitiyang terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan itu berkata, ia akan membida untuk satu projek insinerator di Labuan melalui perkongsian berkenaan.

Kedua-dua pihak akan menggabungkan kepakaran dan sumber untuk memanfaatkan keupayaan perniagaan masing-masing serta kebolehan penyampaian perkhidmatan dalam industri pengurusan sisa.

IHI Enviro, syarikat sumber, tenaga dan pengurusan alam sekitar, adalah anak syarikat IHI Corporation, konglomerat ketiga terbesar di Jepun.

Pengarah Urusan KUB, Datuk Wan Mohd Nor Wan Ahmad, berkata, perikatan strategik itu akan membuka peluang kepada kumpulan itu untuk menyertai pelbagai projek menukar sisa kepada tenaga membabitkan loji insinerator yang akan dibina di beberapa bandar utama di negara ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian antara KUB dan IHI Enviro, disaksikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

"Kami mahu menyediakan teknologi baharu dan dipertingkat untuk rawatan dan pelupusan bahan buangan dalam usaha untuk membantu inisiatif kerajaan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam segmen itu.

"Kami tidak akan membina insinerator itu sendiri tetapi akan membida daripada kerajaan untuk berbuat demikian, terutama di Melaka dan Johor, manakala kajian kami di Labuan hampir siap," katanya.

Turut hadir di majlis itu ialah Pengerusi KUB, Datuk Seri Abd Halim Abd Samad dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IHI Enviro, Masayuki Ogino.

Melalui perkongsian itu, KUB merancang untuk membina satu loji insinerator dipanggil 'IHI Advanced Stoker' untuk projek Labuan dengan kapasiti 100 tan metrik bahan buangan sehari, yang kemudian akan ditukar kepada tiga megawatt tenaga elektrik sehari.

"Sebahagian besar daripada tenaga elektrik yang dijana akan disalurkan kepada loji dan sebarang lebihan akan disalurkan kepada grid nasional," kata Wan Mohd Nor dengan menambah, bidaan untuk projek Labuan belum dibuka.

IHI Advanced Stoker adalah insinerator bahan buangan bersih yang menukar sisa kepada tenaga, tidak melepaskan karbon dioksida tambahan kepada alam sekitar dan mempunyai kos penyelenggaraan yang rendah.

Sehingga kini, IHI Enviro telah membina 46 kemudahan sisa pepejal perbandaran di Jepun dan enam di Amerika Syarikat.


Artikel Sebelum

Artikel Lain