suria

KPDNKK Sasar Perolehan Perniagaan Koperasi RM50 Bilion Menjelang 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan sektor koperasi negara mencatat perolehan perniagaan sebanyak RM50 bilion menjelang 2020.


Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, keyakinan itu didorong oleh peningkatan memberangsangkan terhadap modal syer dan yuran terkumpul, aset serta jumlah bilangan koperasi yang telah ditubuhkan di seluruh negara.

"Sehingga hari ini, kita sudah mempunyai jumlah koperasi berdaftar sebanyak 11,378 di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 7.6 juta orang dan jumlah syer iaitu yuran masing-masing berjumlah RM12.8 bilion.

"Apa yang pentingnya juga adalah jumlah aset yang dapat dikumpulkan daripada semua ahli seluruh negara sehingga 31 Disember 2013 ialah sebanyak RM107.9 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) mengenai perkembangan dan kemajuan koperasi yang ditubuhkan di bawah seliaan KPDNKK pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Hasan berkata, selain komitmen daripada ahli koperasi itu sendiri, kecekapan bahagian pengurusan koperasi juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan sektor koperasi negara mampu berkembang ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, menjawab soalan asal Mojigoh mengenai usaha yang dijalankan KPDNKK bagi membantu serta membangunkan koperasi berasaskan hasil tani dan laut, Hasan berkata kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah menyediakan pelbagai program selaras dengan Dasar Koperasi Negara 2011-2020.

"Untuk makluman, dua konsortium koperasi berasaskan padi telah ditubuhkan di Perlis dan Kedah yang menjalankan perniagaan input pertanian, pemajakan sawah padi, penyewaan jentera dan pembungkusan beras.

"Beberapa koperasi terlibat dengan aktiviti berasaskan laut juga telah berjaya ditubuhkan yang menjalankan aktiviti menternak rumpai laut, menternak ikan air tawar dan ikan dalam sangkar serta membekal dan memasarkan produk hasil laut," jelasnya.


Artikel Lain