suria

TPP Lengkapi Apec - Pegawai Jabatan Negara AS

NEW YORK: Seorang pegawai kanan dari Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) tidak nampak sebarang persaingan antara Perkongsian Trans Pasifik (TPP) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

"Malah, TPP akan melengkapi Apec bukan bersaing dengannya. Ia akan membuka laluan pasaran dengan menurunkan tarif dan juga mengatasi isu-isu lain yang boleh menjadi halangan kepada perdagangan bebas barangan dan perkhidmatan," kata Robert S.Wang, seorang pegawai kanan AS bagi Apec, kepada Bernama.

Beliau berkata demikian di luar acara satu perbincangan panel anjuran Jawatankuasa Kebangsaan Forum Dasar Luar Negara Amerika mengenai Keselamatan Asia Pasifik, baru-baru ini.

Wang juga menyambut baik penubuhan Komuniti Ekonomi Asean pada 2015 yang akan dipengerusikan oleh Malaysia.

Tema perbincangan panel itu ialah "Apec in 2014: Regional Growth and Integration (Apec pada 2014: Pertumbuhan dan Penyepaduan Serantau)" yang menyentuh tentang kepentingan rantau ini bukan sahaja bagi negara anggotanya, malah juga bagi seluruh dunia.

Wang berkata, Presiden AS, Barack Obama, akan melawat beberapa buah negara Asia Pasifik tahun ini, iaitu China, Myanmar dan kemudiannya, Australia.

Beliau berkata, kedudukan Asia dari segi ekonomi amat baik, dengan Jepun, China dan Asia Tenggara mencatatkan pertumbuhan yang kukuh.

Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan ini tidak boleh diambil mudah memandangkan Asia mengalami krisis kewangan terbesarnya pada lewat tahun-tahun 1990-an.

"Pertumbuhan ini boleh merosot pada bila-bila masa," tegas beliau.

Wang berkata, AS juga bimbang tentang kedudukan keselamatan di Asia Tenggara dan Asia Timur dengan nada permusuhan daripada China, khususnya di Timur dan Laut China Selatan.

"Kita perlu uruskan isu keselamatan agar ekonomi-ekonomi terus berkembang.

"Tetapi Apec akan terus melaksanakan apa yang telah dilakukannya sejak 25 tahun lalu menggalakkan perdagangan dan penyepaduan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan perjanjian Apec telah menghasilkan penurunan tarif.

"Kita mengkaji rantaian nilai global... Apec semakin bergerak ke arah perkhidmatan dan tidak lagi hanya memberikan tumpuan kepada barangan," kata beliau.

Meskipun China telah berkembang, namun ia mempunyai masalah lain seperti jaminan tenaga, pencemaran alam sekitar dan jaminan makanan," tegas Wang. 


TPP, Apec, Amerika Syarikat

Artikel Lain