suria

Etiqa Tumpu Kekuatan Agensi Untuk Kembangkan Takaful Keluarga

KUALA LUMPUR: Etiqa Takaful Bhd menggiatkan tumpuan kepada kumpulan agensinya untuk membantu mendekati lebih ramai rakyat Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran takaful di negara ini.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, cabang takaful Kumpulan Maybank itu berkata, kekuatan agensi menyumbangkan 20.6 peratus daripada jumlah sumbangan kasar kepada perniagaan takaful keluarga Etiqa.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Rizlan Azman berkata, kekuatan agensi kekal satu daripada saluran pengagihan utama bagi Etiqa.

"Ia terus menjadi keutamaan kepada kami untuk membangunkan kekuatan agensi dan tahun ini, fokus kami ialah meningkat dan mengukuhkan kemahiran perkhidmatan dan pengetahuan teknikal mereka," katanya.

Ahmad Rizlan berkata, sebagai peneraju pasaran takaful, syarikat perlu mampu menyediakan perkhidmatan profesional kepada pelanggannya daripada perundingan dan peranan nasihat kepada memproses polisi dan tuntutan serta perkhidmatan lepas jualan.

Beliau berkata, Etiqa Takaful terus menjadi pengendali takaful utama Malaysia menguasai 46.3 peratus daripada pasaran untuk takaful am dan 28.6 peratus takaful keluarga dari segi sumbangan kasar dan sumbangan perniagaan baharu pada 2013.


Artikel Lain