suria

GD Express Ke Indonesia Akhir Tahun

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan kurier, GD Express Carrier Bhd, merancang mewujudkan pejabat perwakilan di Indonesia menjelang akhir tahun ini.

Langkah itu bertujuan merebut peluang daripada pasaran yang semakin berkembang dalam sektor berkenaan selaras dengan penubuhan Komuniti Ekonomi Asean (KEA) tidak lama lagi.

Ia juga menandakan penerokaan pertama GD Express Carrier di luar pasaran Malaysia dan Singapura, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Teong Teck Lean.

"Indonesia mempunyai kira-kira setengah daripada penduduk Asean. Ia telah mencapai kestabilan politik dan telah menunjukkan kesungguhan untuk meliberalisasikan ekonominya.

"Dengan mempunyai tapak dalam negara keempat terbesar dunia, ia akan membuka jalan untuk kami beroperasi secara besar-besaran dalam tempoh terdekat. Kami melihat banyak peluang dalam Asean dan dengan penubuhan KEA tidak lama lagi, kami merancang untuk beroperasi dalam setiap bandar raya Asean," katanya pada Ahad.

Dijangka ditubuhkan pada akhir tahun depan, KEA akan membantu merubah Asean kepada pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran 600 juta penduduk dengan pergerakan bebas barangan, perkhidmatan, pelaburan serta buruh mahir.

Dengan kira-kira 40,000 perniagaan kecil dan sederhana menjadi pelanggannya, 26 peratus GD Express dimiliki Singapore Post Ltd (SingPost), sistem pos kebangsaan Singapura.

Pada akhir Mei lalu, Alibaba Group Holding Ltd, syarikat e-dagang terbesar China, membelanjakan S$312.5 juta (RM802 juta) untuk membeli 10 peratus pegangan dalam SingPost bagi membangunkan pangkalan logistiknya di Asia Tenggara.

Teong berkata, dengan perjanjian Alibaba-SingPost, syarikat China itu secara tidak langsung memiliki dua hingga tiga peratus GD Express.

Dengan menjangkakan lebih banyak penggabungan dan pengambilalihan akan berlaku dalam ekosistem e-dagang dalam perkhidmatan kurier, Teong tidak menolak kemungkinan menjual GD Express atau melakukan pengambilalihan untuk tujuan pertumbuhan.

"Kami melihat kepada semua kemungkinan asalkan ia memberi manfaat kepada syarikat, pemegang saham serta pelanggan," katanya.

Syarikat logistik itu mencatat kenaikan 29.9 peratus keuntungan sebelum cukai tahun ke tahun kepada RM17.3 juta untuk tiga suku pertama berakhir 31 Mac 2014 manakala pendapatan meningkat 17.7 peratus kepada RM117.1 juta dalam tempoh yang sama.

Syarikat penghantaran itu merancang menambah kapasiti 130 stesen sedia ada di seluruh negara tahun ini dan akan memperkenalkan pelbagai perkhidmatan baharu yang menyasarkan sektor pengguna.

GD Express pindah ke papan utama daripada Pasaran ACE pada Ogos tahun lalu.


GD Express

Artikel Lain