suria

Google Malaysia Sasar 40,000 PKS P.Pinang Layari Adwords

Google Malaysia
GEORGE TOWN: Google Malaysia menyasarkan 40,824 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Pulau Pinang bagi menyertai Adwords, iaitu platform pengiklanan dalam talian yang kini boleh didapati dalam bahasa Malaysia.

Ketua Pemasarannya, Matthew Zaheen berkata, PKS Pulau Pinang mewakili enam peratus daripada keseluruhan PKS di Malaysia dan mereka boleh menggunakan platform itu bagi menembusi pasaran baharu di luar negara di samping mengembangkan perniagaan tempatan mereka.

"AdWords dalam bahasa Malaysia dapat membantu perniagaan memperluas pasaran di kalangan penutur bahasa Malaysia secara dalam talian.

"Dengan menggunakan aplikasi itu, lebih banyak perniagaan tempatan boleh merebut peluang dalam pemasaran digital, meningkatkan keupayaan mereka serta menggunakan platform itu untuk mencari pelanggan tempatan atau asing baharu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Google AdWords dalam bahasa Malaysia untuk wilayah utara, di sini, Khamis.

Menurutnya, tiada minimum penggunaan Adwords ditetapkan, oleh itu pengguna boleh memutuskan berapa banyak mereka mahu belanja.

Zaheen berkata, daripada 700,000 PKS di Malaysia, hanya 15 peratus dalam talian berbanding 20 juta pengguna Internet.

Katanya, dengan penduduk seramai 29 juta di samping kadar penggunaan telefon pintar yang tinggi, terdapat potensi besar untuk perniagaan merebut peluang berkenaan.

Zaheen berkata, Google Malaysia telah mengadakan siri jelajah bagi mempromosi produk tersebut sejak ia dilancarkan April lalu.


Google Malaysia, PKS

Artikel Lain