suria

Tun M Kini Pengerusi Proton, Lotus

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya, berkuat kuasa 16 Mei lalu.

Beliau juga dinamakan sebagai Pengerusi Group Lotus plc (Lotus), iaitu anak syarikat Proton.

Dr Mahathir mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Mohd Khamil Jamil yang akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi eksekutif, tetapi kekal sebagai anggota lembaga pengarah syarikat.

Sebelum pelantikannya sebagai pengerusi, Dr Mahathir adalah penasihat Proton sejak 2003, selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Proton dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, kesediaan Dr Mahathir memegang jawatan itu membuktikan kesungguhannya untuk melihat pengeluar kereta nasional itu berjaya.

"Dr Mahathir kini boleh meluangkan lebih banyak masa di Proton sebagai pengerusi. Ini tentunya akan memperkukuhkan syarikat dalam misinya untuk menjadi peserta automotif yang terkenal di seluruh dunia," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah.

Sementara itu, Mohd Khamil berkata, DRB-Hicom Bhd, syarikat induk Proton, bangga dengan kesediaan Dr Mahathir untuk berkhidmat sebagai pengerusi.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai insan yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam industri berkenaan.

"Dengan menerima jawatan itu, beliau telah menunjukkan kesediaan untuk menghabiskan masa dan tenaga bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi Proton," katanya.

Dr Mahathir memainkan peranan penting dalam konsepsi dan kemajuan industri automotif di Malaysia. Wawasan, idea serta kepemimpinan beliau telah membimbing Proton sejak ia diwujudkan pada 1983.

Beliau bukan hanya mahu melihat kereta national dihasilkan tetapi juga meningkatkan kapasiti ekonomi negara, terutama dalam menguasai pengetahuan kejuruteraan automotif serta kaedah pengeluaran moden dan yang lebih penting menjadikan semua rakyat Malaysia mampu memiliki kereta.

Sejak ditubuhkan, Proton telah memacu ekosistem pengeluaran automotif tempatan dengan pasukan juruteranya memiliki kemahiran kejuruteran tahap tinggi sehingga ia mampu mereka bentuk, membuat dan mengeluarkan kereta. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain