suria

Sarawak Minta Kuota Khas Gas Asli

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat supaya negeri ini diperuntukkan satu kuota khas untuk gas asli yang diperoleh di negeri ini.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Sarawak Datuk Julaihi Nahrawi berkata kuota khas gas asli ini dapat digunakan untuk memenuhi keperluan stesen jana kuasa dan aktiviti-aktiviti hiliran di negeri ini.

"Kita berharap mendapat jawapan yang positif daripada Kerajaan Pusat (berhubung permohonan kuota khas itu)," katanya semasa menjawab soalan tambahan Aidel Lariwoo (BN-Sadong Jaya) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Katanya kerajaan negeri turut berharap Petronas, sebagai syarikat petroleum nasional, dapat menimbang secara serius cadangan untuk menambah pegangan ekuiti Sarawak dalam projek-projek baharunya di negeri ini.

Menjawab soalan tambahan Dr Abdul Rahman Ismail (BN-Bukit Kota), Julaihi berkata kerajaan negeri dan pusat memang bersedia untuk berunding bagi meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974 bagi meningkatkan lagi peratus royalti petroleum yang diterima Sarawak.

Katanya sebagai alternatif kepada royalti lebih tinggi, kerajaan negeri juga telah meminta Petronas menyediakan geran pembangunan yang boleh digunakan di Sarawak, termasuk untuk pembangunan infrastrukturnya.

Beliau mengakui selama ini Petronas telah menjana limpahan ekonomi besar, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk Sarawak dan pembangunan tenaga mahir dalam sektor minyak dan gas.

Katanya syarikat nasional ini juga telah menyumbang secara aktif ke arah pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar, pembangunan infrastruktur dan pendidikan di Sarawak.


Sarawak, Gas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain