suria

TPM Lancar PMB Tijari Bhd, Anak Syarikat Baharu Pelaburan Mara

Muhyiddin menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Nazim (kiri) dan Ahmed (kanan) sempena majlis Penjenamaan Semula Pelaburan Mara Berhad dan Pelancaran PMB Tijari Berhad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan PMB Tijari Bhd, anak syarikat baharu milik Pelaburan Mara Bhd.

Dengan suntikan modal sebanyak RM100 juta, Tajari akan menumpukan kegiatannya dalam perkhidmatan kewangan Islam yang menyasarkan sektor komersil.

Muhyiddin turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pemegang saham PMB Tijari Bhd dengan Perbadanan Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD), anak syarikat Islamic Development Bhd yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi yang diwakili Ketua Wilayahnya, Ahmed Abdul Khalid.

Beliau berkata perjanjian pemegang saham itu akan membolehkan ICD menguasai kira-kira satu pertiga daripada ekuiti PMB Tijari.

"Ini menunjukkan tahap keyakinan ICD untuk terus melabur di Malaysia, sebuah negara Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC), selaras dengan dasar ICD untuk membantu dalam pembangunan pasaran kewangan dan modal Islam di negara-negara anggota," katanya di sini, Selasa.

Dalam masa sama, Muhyiddin berkata ia turut mencerminkan keyakinan ICD terhadap Pelaburan Mara memandangkan pegangan pelaburan telah ditingkatkan daripada 10 peratus sebelum PMB Tijari diambil alih oleh Pelaburan Mara kepada 33 peratus selepas perjanjian ini.

"Saya berharap dengan jaringan yang ada pada ICD dan IDB ini, Tijari akan dapat meluaskan perkhidmatannya bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di 55 negara anggota OIC yang lain," katanya.

Pada sidang media, Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Mara Bhd, Nazim Rahman berkata, Tijari menyasarkan pengeluaran dana sebanyak RM80 juta hingga akhir tahun ini.

"Kita memberi fokus kepada sektor komersil yang tertumpu kepada pembiayaan peralatan berkaitan projek kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan termasuk sektor minyak dan gas, pembuatan dan infrastruktur," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nazim berkata Pelaburan Mara menjangka dapat mencapai nilai pengurusan dana sebanyak RM2.4 bilion sehingga akhir tahun ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain