suria

Komitmen Pelaburan SDC Cecah RM127 Bilion

KOTA KINABALU: Komitmen pelaburan menerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC), mencecah RM127 bilion sehingga akhir tahun lepas, kata Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata sejumlah RM25 bilion atau 20 peratus daripada jumlah itu telah direalisasikan.

"Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) menekankan kepada usaha menarik pelaburan dalam aktiviti bernilai tambah tinggi dan mempromosi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain mengenal pasti sumber baharu pertumbuhan ekonomi negeri," katanya ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini pada Khamis.

Katanya sektor pembuatan di Sabah akan terus memain peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Juhar berkata sejak 2009 hingga tahun lepas, Sabah menerima RM16.2 bilion jumlah nilai pelaburan, sekali gus menjadikan Sabah antara negeri tumpuan pelabur domestik dan luar negeri.

"Kerajaan menyediakan kawasan perindustrian berkelompok seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Gugusan Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu, POIC Sandakan dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang.

"Langkah itu bukan sahaja dapat menempatkan kilang-kilang pembuatan bagi aktiviti hiliran, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat tempatan," katanya.

Beliau berkata sektor tersebut berjaya menyediakan 43,475 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun lepas.

SDC, POIC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain