suria

Program Transformasi Kedai Runcit Ada Yang Berjaya Ada Yang Gagal

KUALA LUMPUR: Sebanyak 26 peratus daripada 70 kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) yang diselia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengalami kemerosotan nilai jualan manakala 14 peratus lagi bergulung tikar.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kedai-kedai yang mengalami kemerosotan nilai jualan berpunca antaranya disebabkan wujudnya persaingan daripada pasar raya berdekatan.

"Kedai yang telah menutup perniagaan mereka pula adalah kerana menghadapi masalah kekurangan modal dan kesukaran peserta mendapat bekalan barang jualan disebabkan mereka (peserta) tidak memaksimakan pulangan ke atas jualan stok sebagai pusingan untuk pembelian stok seterusnya," menurut laporan itu.

Laporan itu turut mendapati terdapat juga peserta yang bertukar milik kedai selain menutupnya disebabkan peniaga menghadapi kekurangan modal dan klausa dalam perjanjian pinjaman tidak terdapat larangan kepada peserta TUKAR untuk menjual (kedai tersebut) dalam tempoh perjanjian berkuat kuasa, menurut laporan itu.

Ia juga menyebut, pihak KPDNKK bersetuju dengan syor Audit Negara untuk meletakkan syarat bahawa pekedai tidak boleh menukar milik atau menjual kedai mereka kepada pihak lain tanpa persetujuan kementerian itu terlebih dahulu.

Bagaimanapun, sebanyak 56 peratus daripada keseluruhan kedai yang menyertai program tersebut berjaya meningkatkan nilai jualan berbanding sebelum menyertai program TUKAR, menurut laporan itu.

Sementara itu, sebanyak 75 peratus daripada 60 peserta program TUKAR tidak mendapat latihan yang sewajarnya disebabkan masalah ketiadaan pembantu untuk menguruskan perniagaan ketika menghadiri latihan, lokasi latihan yang jauh dan masalah pengangkutan serta masalah kesihatan.

Program TUKAR telah dilancarkan pada Feb 2011 dengan tujuan memodenkan kedai runcit tradisional dan sedia ada bagi meningkatkan daya saing dalam bidang peruncitan yang kompetitif.

Artikel Lain