suria

Mosti Sasar 390 Produk Inovasi Universiti Dikomersialkan

ARAU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menyasarkan 390 produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dihasilkan institusi pengajian tinggi dikomersialkan bermula tahun ini hingga 2020.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata pada tahun ini 37 daripada 60 produk yang disasarkan telah dipasarkan.

Katanya Mosti menyediakan peruntukan besar bagi tujuan penyelidikan kepada universiti namun banyak produk yang dicipta tidak dapat dipasarkan atau dikomersialkan kerana tindakan pihak swasta amat perlahan.

"Pihak swasta suka mengambil jalan mudah mendapatkan teknologi dari negara lain kerana lebih murah berbanding produk tempatan yang memerlukan modal besar untuk dikomersialkan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 50 anggota Majlis Penghuni Kolej Kediaman 2014 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus tetap UniMAP di Pauh, di sini.

Sehubungan itu Abu Bakar berkata Mosti akan menubuhkan Pusat Komersial Inovasi Negara antara lain akan menjadi platform untuk mengkomersialkan produk inovasi dan reka cipta negara.

Katanya projek berharga RM250 juta itu akan dibina di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada akhir tahun ini.

Beliau berkata 72 saintis diperlukan bagi setiap 10,000 tenaga kerja apabila Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020 dan setakat ini telah mencapai kadar 69.2 peratus saintis bagi setiap 10,000 tenaga kerja.

Turut hadir pada majlis itu Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Arau, Universiti, Mosti

Artikel Lain