suria

Harta Intelek Cagaran Pembiayaan Perniagaan

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merancang untuk membolehkan harta intelek digunakan sebagai cagaran bagi usahawan mendapat pembiayaan perniagaan daripada institusi kewangan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata rancangan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek (MyIPO).

Justeru, katanya beberapa agensi di bawah kementerian itu akan melatih 23 pegawai untuk menjadi penilai harta intelek bagi memudahkan proses melakukan cagaran berdasarkan harta tersebut.

"Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan mereka pada pertengahan tahun ini bergantung kepada permintaan dan situasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Harta Intelek dan Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2014, di sini, Isnin.

Beliau meminta usahawan Bumiputera dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mendaftarkan produk dan teknologi mereka untuk mendapatkan perlindungan hak harta intelek serta menjana lebih banyak pendapatan.

Beliau berkata masih ramai yang tidak mengetahui fungsi sebenar perlindungan hak harta intelek dan peratusan pendaftaran dalam kalangan usahawan Bumiputera IKS adalah masih rendah.

Katanya pada tahun lepas, statistik pendaftaran hak perlindungan harta intelek daripada kaum Bumiputera atau pemohon tempatan hanya menyumbang 40 peratus daripada jumlah 41,638 pendaftaran.

"Harta intelek kini dilihat sebagai satu bentuk kekayaan baharu dalam menjana ekonomi. Ia juga dapat membantu membuka peluang perniagaan dalam meningkatkan pendapatan selain memiliki hak eksklusif terhadap produk mereka sendiri," katanya.

Ahmad Bashah berkata Kedah akan menjadi tuan rumah Hari Harta Intelek Negara 2014 yang ke-10 bagi meneruskan agenda nasional untuk mendekati rakyat khususnya di Zon Utara dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan hak harta intelek.

MyIPO, IKS

Artikel Sebelum

Artikel Lain