suria

Najib Lancar ASB2 Dengan Jumlah 10 Bilion Unit

Najib (kiri) menyampaikan buku pelaburan terawal Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) kepada Siti Noor Azuwa Mohd Rosli di majlis pelancaran ASB2 di perkarangan Stadium Merdeka di Kuala Lumpur, Rabu. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (tengah). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu melancarkan dana amanah ke-10 diuruskan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2), dengan saiz 10 bilion unit. 

Perdana Menteri berkata PNB, pengurus dana terbesar negara, telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi tujuan pemberian insentif kepada para pelabur ASB2 ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak 10 unit ASB2 percuma akan dikreditkan ke akaun pemegang unit yang mendaftar mulai Rabu sehingga 31 Disember, 2014.

Namun, ia tertakluk kepada jumlah unit yang masih ada, katanya ketika melancarkan ASB2 di Stadium Merdeka di sini.

Perdana Menteri berkata, insentif tambahan juga akan diberi kepada orang ramai yang hadir di Stadium Merdeka pada Rabu.

"Sekiranya anda mendaftar sebagai pemegang unit ASB 2 pada hari ini di Stadium Merdeka ini, anda akan turut diberikan baucer bernilai RM50 bagi tujuan pembelian unit-unit ASB 2," katanya.

Najib berkata, ASB 2 ini dibuka kepada pelabur Bumiputera berumur seawal enam bulan dengan pelaburan permulaan mampu milik, iaitu serendah 10 unit.  

Dana kesepuluh PNB ini adalah dana jenis pendapatan kategori aset campuran yang diniagakan pada harga tetap iaitu RM1.00 seunit. 

Bagi membolehkan seramai mungkin pelabur meraih manfaat daripada pelancaran ASB 2, jumlah pelaburan maksimum untuk setiap individu dihadkan kepada 200,000 unit untuk Akaun Dewasa dan 50,000 unit untuk Akaun Bijak.  

"ASB 2 adalah satu produk terbaharu yang mampu memenuhi cita rasa dan ‘appeal’ kepada Generasi Y (Gen-Y) – generasi yang menjadi tumpuan dalam pelbagai program pembangunan modal insan. Lebih penting, Gen-Y inilah pewaris dan pemimpin masa depan negara," kata Najib.

Beliau berkata, menerusi rangsangan ekonomi ini, kerajaan berharap kegiatan dalam sektor-sektor penting ekonomi negara dapat ditingkatkan, melalui penerokaan modal-modal baru yang mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. 

"Pelaburan saudara-saudari ini jugalah yang akan memastikan kelangsungan pemilikan ekuiti dalam sektor korporat masih dipegang oleh masyarakat Bumiputera," kata Najib. 

Sementara itu, pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata ketika ini, 28.1 peratus atau 3.3 juta akaun daripada keseluruhan pemegang akaun amanah PNB
terdiri Gen-Y. 

PNB juga menyediakan perkhidmatan yang mudah bagi golongan Gen-Y untuk melabur melalui Maybank2U, CIMB Clicks, RHB Now dan Affin Online.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain